KUCHING: Pusat 3S Hyundai Kuching milik Heng Lian Enterprise Berhad menjadi antara lokasi penting dalam lawatan rasmi delegasi Bandar Guro, Korea Selatan, hari ini bersempena pembukaan ruang pameran baharu Hyundai dan Kia.
Pembukaan ruang pameran berkenaan bukan sahaja mencerminkan perkembangan industri automotif Korea Selatan di Sarawak, malah memperkukuh hubungan dua hala antara Kuching Selatan dengan Bandar Guro dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan industri automotif.
Kemudahan baharu itu turut memperlihatkan komitmen Hyundai Kuching dalam memperluas akses pelanggan terhadap rangkaian kenderaan Hyundai dan Kia, selain menyediakan perkhidmatan jualan, penyelenggaraan serta alat ganti (3S) yang lebih menyeluruh kepada pengguna di Sarawak.
Delegasi Bandar Guro diketuai Datuk Bandar Guro, Jang Inhong, bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, sempena lawatan rasmi ke Kuching.

Program berkenaan turut meliputi sesi menandatangani plak kenangan, pertukaran cenderamata, sesi bergambar serta lawatan ke ruang pameran Hyundai dan Kia di Pusat 3S Hyundai Kuching.
Wee berkata, pemilihan Hyundai Kuching sebagai salah satu lokasi lawatan rasmi mencerminkan hubungan erat antara Kuching Selatan dengan Bandar Guro yang telah terjalin sejak 2012 dan terus berkembang melangkaui hubungan diplomatik.
Menurutnya, pembukaan Jalan Guro di Kuching baru-baru ini menjadi simbol persahabatan yang dibina atas asas saling menghormati serta hubungan rakyat dengan rakyat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
“Persahabatan ini bukan sekadar termeterai menerusi memorandum persefahaman, sebaliknya terus berkembang melalui pertukaran budaya, pendidikan, pelancongan dan kini memberi tumpuan kepada kerjasama perniagaan.
“Kami berharap platform kerjasama perniagaan antara Kuching Selatan dengan Bandar Guro dapat ditubuhkan menjelang penghujung tahun ini bagi mempertemukan usahawan dari kedua-dua bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Wee berkata, Heng Lian Enterprise Berhad menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah lawatan berkenaan sebaik sahaja mengetahui ketibaan Datuk Bandar Guro ke Kuching.

Katanya, Hyundai Kuching merupakan pusat 3S Hyundai pertama di Sarawak dan menjadi simbol perkembangan jenama automotif Korea Selatan di negeri ini.
“Ini ialah pusat Hyundai pertama di Sarawak dan kami telah lama menantikan kehadirannya. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi Bandar Guro melihat sendiri perkembangan jenama automotif Korea di Kuching,” katanya.
Sementara itu, Jang berkata, pembukaan Jalan Guro di Kuching menjadi simbol baharu hubungan erat antara Bandar Guro dengan Kuching Selatan, selain diyakini mampu memperkukuh kerjasama antara kedua-dua bandar pada masa hadapan.
Beliau berharap hubungan berkenaan terus berkembang bukan sahaja melalui kerjasama antara kerajaan tempatan, malah merangkumi pertukaran belia, budaya, pendidikan serta kerjasama ekonomi.
Mengulas lawatannya ke Hyundai Kuching, beliau berkata kunjungan itu amat bermakna memandangkan beliau pernah berkhidmat bersama Hyundai sebelum ini.
“Saya berharap lebih ramai masyarakat di Kuching dan Malaysia memilih serta menyokong jenama automotif Korea seperti Hyundai,” katanya.
Terdahulu, delegasi berkenaan turut dibawa melawat ruang pameran Hyundai dan Kia bagi melihat rangkaian model terkini serta kemudahan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) yang disediakan Hyundai Kuching kepada pelanggan di Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





