MUKAH: Keharmonian antara masyarakat Islam dengan bukan Islam di Sarawak menjadi kekuatan negeri ini dalam membina sebuah masyarakat majmuk yang saling memahami dan menghormati.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan berteraskan mahabbah atau kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat bukanlah sesuatu yang baharu, malah selaras dengan ajaran Islam yang menekankan hubungan baik sesama manusia.
Menurut beliau, konsep tersebut turut menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang aman dan bersatu, sebagaimana yang dapat dilihat melalui pendekatan pentadbiran berlandaskan nilai kemanusiaan.
“Sebab itulah, menurut perspektif Islam, apa jua tugas yang kita laksanakan hendaklah berteraskan nilai kemanusiaan.
“Justeru, konsep mahabbah atau kasih sayang menurut perspektif Islam bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah hari ini.
Abang Johari menambah, keharmonian yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini menunjukkan kemampuan rakyat pelbagai agama dan latar belakang untuk hidup bersama dalam suasana aman serta saling menghormati.
Dalam pada itu beliau berkata, pendekatan itu turut mendapat perhatian pihak luar apabila wakil Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang melakukan kunjungan baru-baru ini melahirkan kekaguman terhadap cara masyarakat berbeza agama di Sarawak mengekalkan keharmonian.
“Mereka kagum dengan cara kita di Sarawak ini yang mana kita dapat hidup begitu aman dalam kalangan kita yang berbeza-beza.
“Malah mereka bertanya, mengapa tidak kita cuba berkongsi pendekatan ini dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, Sarawak akan terus mengekalkan pendekatan tersebut dengan memberi keutamaan kepada perpaduan, keharmonian dan pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.
“Jadi saya kata, kami jaga kami sendiri dulu. Kita ada Laut Cina Selatan, biarlah kami jaga Sarawak supaya apabila Sarawak kuat, Malaysia pun akan kuat juga,” ujarnya.
Beliau berkata, kekuatan Sarawak berasaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat akan menjadi asas penting untuk negeri itu terus berkembang serta menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan.
Oleh Adele Rissa





