MALUDAM: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 bukan sekadar memendekkan tempoh perjalanan ke wilayah tengah dan utara Sarawak, malah membuka akses kepada pasaran baharu untuk nelayan serta merancakkan industri penangkapan ikan terubuk di Maludam.
Penduduk kampung itu yang kebanyakannya bergantung kepada sektor perikanan turut menikmati manfaat apabila permintaan terhadap hasil tangkapan utama seperti ikan terubuk dan udang merah dari kawasan pesisir dan muara Sungai Maludam semakin meningkat.
Seorang nelayan tempatan, Batu Jajabai Agu, 52, berkata jambatan itu memudahkan pergerakan penduduk dan pengunjung ke daerah itu apabila tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan feri.

“Dulu, ramai yang terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri untuk ke Maludam, menyebabkan tidak ramai yang datang membeli hasil laut secara terus.
“Kini, setiap hujung minggu kami menerima ramai pengunjung yang mencari ikan terubuk segar, sekali gus membolehkan kami menjual hasil tangkapan secara terus kepada pengguna tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang tengah,” katanya kepada Bernama.
Nelayan itu berkata terdapat pelbagai jenis ikan terubuk di muara Batang Lupar, namun terubuk Ulu paling mendapat permintaan dengan harga mencecah RM120 sekilogram, manakala telurnya pula boleh mencecah RM500 sekilogram.
Selain itu, Maludam terkenal dengan hasil laut seperti udang merah atau lebih dikenali sebagai payak atau durik dalam kalangan penduduk tempatan, selain ubur-ubur, ikan buntal dan pelbagai spesies ikan laut, serta udang galah yang banyak terdapat di sepanjang sungai berkenaan.

“Harapan kami ialah Maludam akan terus dikenali sebagai destinasi mendapatkan ikan terubuk segar dan hasil laut berkualiti, sekali gus membolehkan penduduk kampung menjana pendapatan sampingan,” katanya yang turut membuat jala untuk kegunaan sendiri.
Seorang suri rumah, Hamdiah Awieng, 52, berkata jambatan itu bukan sahaja memudahkan urusan harian keluarganya, malah meningkatkan pendapatan apabila hasil tangkapan suaminya seperti ikan terubuk dan payak kini lebih mudah dipasarkan.
Sebelum ini, bagi menambah pendapatan keluarga dia membantu suaminya memproses ikan terubuk masin dan udang merah masin kerana tidak semua hasil tangkapan dapat dijual dengan segera.
“Sekarang keadaan sudah berbeza. Hasil tangkapan cepat habis dijual kerana pembeli kini lebih mudah datang ke Maludam, sekali gus meningkatkan pendapatan kami. Bagaimanapun, ikan terubuk masin masih mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Berkongsi kegembiraan dan rasa syukur, nenek kepada enam cucu itu berkata pembukaan jambatan berkenaan turut memudahkan perjalanan penduduk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, termasuk di Kuching.
Perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching juga kini lebih singkat berbanding sebelum ini apabila penduduk terpaksa bermalam di Kuching bagi mengelakkan terlepas penerbangan.
Sementara itu, pengusaha kedai makan Nurthahirah Hassan, 33, berkata kehadiran pengunjung dari Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman dan kawasan berhampiran turut meningkatkan pendapatan peniaga kecil yang menjual makanan, hasil laut, produk kampung dan kraf tangan.
“Peniaga kecil seperti saya turut menerima tempias positif daripada pembinaan jambatan ini. Sebelum ia dibuka, kawasan ini agak sunyi dan tidak ramai pengunjung, selain perniagaan juga agak perlahan.

“Apabila tiba hujung minggu malah pada hari biasa, ramai pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu akan singgah di Maludam bagi membeli makanan laut segar,” katanya.
Nurthahirah berkata dia kekal berniaga di situ sejak enam tahun lepas selepas mengetahui mengenai pembinaan jambatan tersebut kerana yakin ia akan membawa manfaat kepada semua pihak.
“Saya yakin pembangunan infrastruktur ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada generasi muda melalui sektor pelancongan, perniagaan berasaskan makanan laut serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.84 kilometer yang menghubungkan Sebuyau dan Maludam telah dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 9 Julai lepas. – Bernama




