Dua dekad menjaga tahanan komunis, Agnes saksikan sisi yang tidak pernah diceritakan

Facebook
WhatsApp
AGNES NGATA LAYUS… AGNES Ngata Layus, 79, berkongsi pengalaman lebih dua dekad mengawal tahanan komunis ketika ditemui pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Ketika ancaman komunis masih memuncak di Sarawak sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, setiap kali anggota komunis berjaya ditangkap atau menyerah diri, seorang anggota polis wanita sering dipertanggungjawabkan untuk mengawal mereka.

Bagi Agnes Ngata Layus, 79, tugas itu bukan sekadar mengawasi tahanan di sebalik tirai besi, malah memberinya peluang menyaksikan sendiri bagaimana individu yang suatu ketika dahulu mengangkat senjata akhirnya meluahkan rasa penyesalan sebelum kembali menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.

Umumnya, anggota komunis dikenali sebagai kelompok yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi perjuangan mereka.

Namun, Agnes berkongsi sisi lain yang jarang diketahui umum.

Beliau tidak bercerita tentang pertempuran atau detik cemas ketika bertugas.

Sebaliknya, beliau menyaksikan kesunyian mereka yang tewas dalam perjuangan, hadir mendapatkan nasihat serta mengakui kesilapan selepas memilih untuk menyerah diri.

“Mereka sebenarnya baik. Selepas ditangkap, mereka segan dengan kami. Mereka minta nasihat dan mengaku menyesal,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

Agnes menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Oktober 1968 selepas menamatkan latihan selama tujuh bulan di Kuala Lumpur sebelum memulakan penugasan di Sri Aman.

Tidak lama kemudian, beliau dipindahkan ke Sibu susulan penubuhan Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM), ketika ancaman komunis berada pada tahap yang membimbangkan di wilayah tengah Sarawak.

Di situlah sebahagian besar kerjayanya dihabiskan.         

AGNES NGATA LAYUS… AGNES Ngata Layus, 79, berkongsi pengalaman lebih dua dekad mengawal tahanan komunis ketika ditemui pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

 Hampir setiap hari beliau mengawal tahanan komunis, sama ada lelaki mahupun wanita, yang ditangkap atau menyerah diri kepada pihak berkuasa sehingga konflik tersebut beransur reda.

Menariknya, ketika kebanyakan anggota polis wanita ditempatkan di bahagian pentadbiran, Agnes sering dipanggil apabila melibatkan pengendalian tahanan.

“Yang lain bertugas di pejabat. Saya pula, kalau ada orang ditangkap, saya yang dipanggil,” katanya sambil tersenyum.

Beliau berkata, tugas mengawal tahanan bukan sahaja melibatkan anggota komunis, malah wanita yang ditahan atas pelbagai kes jenayah.

Namun, pengalaman mengendalikan bekas anggota komunis meninggalkan kesan paling mendalam sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatannya.

Menurut Agnes, beliau turut mengiringi pegawai kanannya ke kawasan pedalaman seperti Lubok Antu, Engkilili dan Pantu bagi menguruskan proses penyerahan diri anggota komunis yang keluar dari hutan.

Mereka kemudiannya ditempatkan di pusat tahanan sebelum menjalani proses pemulihan dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masyarakat.

“Sebaik sahaja mereka menyerah diri, saya yang menjaga mereka. Selepas itu mereka pulang dan menjalani kehidupan sebagai orang biasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pernah berdepan ancaman atau cubaan memberontak daripada tahanan, Agnes menggelengkan kepala.

Sebaliknya, beliau berkata kebanyakan mereka memberikan kerjasama yang baik selepas ditahan.

“Tidak ada. Mereka baik,” katanya.

Selepas lebih 30 tahun berkhidmat, Agnes menamatkan perkhidmatannya dalam PDRM pada 2004 sebelum kembali menetap di kampung halamannya di Sri Aman.

Walaupun telah lama meninggalkan dunia kepolisan, memori mengawal individu yang pernah menjadi musuh negara tetap terpahat dalam ingatannya.

Bukan kerana keganasan yang disaksikan, tetapi kerana beliau melihat sendiri bagaimana sebuah perjuangan bersenjata akhirnya berakhir dengan penyesalan, keinsafan dan harapan untuk memulakan kehidupan baharu.

Oleh SHAHRUL QAIZAT

Agong zahir ucapan Selamat Hari Pahlawan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan

Anwar titip doa buat Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa agar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menjalani rawatan