KUCHING: Sebanyak 11 kes vandalisme dan cubaan mencuri komponen aset elektrik di kawasan Matang direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM396,000 selain menjejaskan bekalan elektrik kepada beberapa komuniti.
Kes berkenaan melibatkan cubaan mencuri komponen tembaga daripada pengubah elektrik serta peralatan berkaitan yang membekalkan elektrik ke kawasan sekitar Matang, termasuk Sri Kandong, Kampung Jaya Bakti, Kampung Rayu dan kawasan berhampiran.
Sehubungan itu, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), cabang operasi dan peruncitan Sarawak Energy, menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran infrastruktur elektrik.
Pengurus Besar SESCO Wilayah Barat, Effendy Syaiful Abdullah berkata, peningkatan kegiatan vandalisme dan cubaan mencuri komponen aset elektrik di kawasan Matang merupakan isu serius kerana bukan sahaja menjejaskan bekalan elektrik kepada komuniti, malah mengganggu aktiviti harian serta membahayakan keselamatan orang ramai.


VANDALISME ASET ELEKTRIK… Antara aset elektrik milik SESCO yang mengalami kerosakan akibat kegiatan vandalisme dan cubaan mencuri komponen di kawasan Matang. Foto SEB
“Ini bukan sekadar perbuatan merosakkan harta benda. Kegiatan vandalisme dan cubaan mencuri komponen aset elektrik semakin membimbangkan kerana boleh mengganggu bekalan elektrik kepada komuniti, menjejaskan aktiviti harian serta mengancam nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian di Kampung Rayu pada 28 Jun lalu, bekalan elektrik ke kawasan terjejas terputus selama sembilan jam selepas sebuah pengubah elektrik mengalami kerosakan dan perlu diganti sebelum bekalan dapat dipulihkan dengan selamat.
Menurutnya, aset elektrik yang rosak masih berkemungkinan mempunyai aliran elektrik dan boleh menyebabkan renjatan serta kecederaan serius kepada orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri, menyentuh atau cuba memeriksa sebarang pemasangan elektrik yang rosak,” katanya.
Beliau turut menyeru pengusaha pusat kitar semula dan peniaga barangan lusuh agar tidak membeli bahan logam yang mencurigakan kerana berkemungkinan merupakan komponen yang dicuri daripada pengubah elektrik milik SESCO.
Dalam pada itu, Sarawak Energy bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkenaan menerusi operasi bersepadu, termasuk pemeriksaan di pusat kitar semula serta pemantauan terhadap aktiviti melibatkan bahan tembaga dan kabel yang disyaki dicuri.
Orang ramai yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran pencawang elektrik, pengubah, tiang, kabel atau kemudahan elektrik lain diminta membuat laporan kepada pihak polis atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111.
Laporan juga boleh disalurkan melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com atau aplikasi SEB Cares, dan semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan.





