KOTA SAMARAHAN: Tiga lelaki tempatan dikenakan tindakan selepas disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Operasi berkenaan dijalankan dari 11.00 malam semalam hingga 3.00 pagi tadi di Jalan La Promenade, di sini sebagai usaha membendung kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Sepanjang operasi tersebut, seramai 81 individu dan 73 kenderaan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada seorang pegawai kanan polis, empat anggota trafik serta tujuh anggota daripada pelbagai cawangan.

Daripada jumlah pemeriksaan itu, empat individu menjalani saringan awal alkohol menggunakan alat pengesan SD2+, dengan tiga lelaki tempatan didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketiga-tiga individu berkenaan telah dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Selain itu, sebanyak 20 keping saman PDRM (K) 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi dijalankan.

Pihak polis menegaskan operasi penguatkuasaan seperti itu akan diteruskan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama.





