SPAOH: Pembukaan Jambatan Sungai Paku di Jalan Tanjung Sebekut di sini dijangka melancarkan perjalanan antara Spaoh dengan Betong, selain menjimatkan masa perjalanan sehingga kira-kira 30 minit berbanding menggunakan laluan utama.
Jambatan baharu itu turut memberi manfaat kepada lebih 20 rumah panjang dan komuniti setempat, selain memperkukuh hubungan ke Debak serta kawasan penempatan pesisir hingga ke Pusa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menyempurnakan majlis pembukaan Lalu Lintas Jambatan Sungai Paku hari ini.
Jambatan berkonsepkan gerbang keluli satu rentang sepanjang 100 meter itu dibina merentasi Sungai Paku menerusi projek di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana.

Jalan Tanjung Sebekut merupakan laluan alternatif penting yang menghubungkan Betong dengan Spaoh dan pembukaan jambatan baharu itu dijangka menyediakan perjalanan yang lebih lancar, selamat serta selesa kepada pengguna.
Sebelum pembinaan jambatan berkenaan, pengguna terpaksa melalui jambatan keluli sedia ada yang hanya mempunyai satu lorong.
Keadaan itu memerlukan kenderaan berhenti dan memberi laluan kepada pengguna dari arah bertentangan, sekali gus menjejaskan kelancaran trafik, terutama pada waktu puncak.
Pembinaan jambatan baharu itu menyelesaikan masalah berkenaan, selain membolehkan kenderaan berat serta kenderaan pengangkut barangan melalui kawasan tersebut tanpa perlu menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
Selain pembinaan jambatan utama, projek itu turut melibatkan pelebaran sebahagian jalan sedia ada mengikut piawaian JKR R3, pembinaan dua bulatan mini dan tembok perlindungan tebing sungai sepanjang kira-kira 150 meter.
Skop projek turut merangkumi pemindahan paip dasar sungai, tiang elektrik dan kabel bawah tanah serta pelaksanaan kerja-kerja elektrik di jambatan baharu dan jambatan keluli sedia ada.
Sementara itu, jambatan lama akan dinaik taraf dan ditukar fungsi sebagai laluan pejalan kaki bagi mengekalkan struktur sedia ada, di samping berpotensi menjadi mercu tanda serta tarikan baharu di pekan Spaoh.
Pembangunan kawasan tebing sungai di sekitar projek itu juga menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti seperti berjoging, memancing, beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga dengan berlatarbelakangkan Jambatan Sungai Paku.
Pembukaan jambatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan, meningkatkan mobiliti penduduk serta menyokong perkembangan sosioekonomi komuniti setempat.




