KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) meletakkan Malaysia di landasan kukuh bagi meningkatkan kedudukan daya saing global, namun penambahbaikan berterusan masih diperlukan untuk meningkatkan pencapaian beberapa petunjuk prestasi yang masih rendah.
Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata impak RKB dapat dilihat menerusi peningkatan kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 (WCR) terbitan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), apabila negara melonjak ke tangga ke-15 tahun ini daripada tangga ke-23 pada tahun lepas.
Bagi petunjuk kecekapan birokrasi pula, Malaysia meningkat ke tangga keenam dunia berbanding tangga ke-14 tahun lepas, sekali gus menerima pengiktirafan daripada Pengarah Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, Prof Arturo Bris pada majlis pelancaran laporan berkenaan.
“Beliau menyebut secara khusus bahawa peningkatan prestasi Malaysia banyak didorong usaha reformasi yang dilaksanakan. Kami yakin antara penyumbang utamanya ialah pelaksanaan RKB oleh semua kementerian dan agensi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data bagi setiap petunjuk prestasi bukan sekadar digunakan untuk meningkatkan kedudukan negara, sebaliknya menjadi rujukan penting kepada kementerian dan agensi dalam mengenal pasti kelemahan serta melaksanakan penambahbaikan secara berstruktur.
Mohamad Norjayadi berkata kejayaan pelaksanaan RKB dalam memudahkan urusan kerajaan dapat dilihat menerusi pengurangan tempoh semakan tapisan keselamatan dan rekod jenayah untuk permohonan pas ekspatriat.
Tempoh keseluruhan proses itu kini hanya mengambil masa 15 minit berbanding sehingga 50 hari sebelum ini hasil perkongsian data menerusi platform e-Vetting serta kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan amalan kerja secara silo dalam kalangan agensi kerajaan dapat dihapuskan bagi mempercepat proses kelulusan selain mengurangkan kos pematuhan perniagaan.
“Sebelum ini, permohonan berisiko tinggi dan rendah diproses menggunakan pendekatan yang sama, sekali gus menyebabkan kelewatan kelulusan serta meningkatkan kos pematuhan bagi peniaga dan pelabur.
“Menerusi RKB, kementerian dan agensi dibimbing beralih kepada pendekatan Kelulusan Berasaskan Risiko (Risk-Based Approval) serta kawal selia kendiri (self-regulation) bagi permohonan berisiko rendah,” katanya.

Beliau berkata RKB juga ialah antara usaha kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Selain memberi manfaat kepada sektor korporat, Mohamad Norjayadi berkata keberkesanan RKB turut dirasai oleh peniaga kecil di luar bandar menerusi sistem e-Lesen yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.
Di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Menumbok, Banggi dan Tungku di Sabah, katanya tempoh memproses permohonan lesen perniagaan berjaya dipendekkan daripada 14 hari kepada tiga hari, malah terdapat permohonan yang dapat diluluskan serta-merta bergantung kepada kualiti capaian internet.
Beliau bagaimanapun mengingatkan sektor awam dan swasta supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-15 memandangkan persaingan melibatkan 70 ekonomi dunia.
Mohamad Norjayadi berkata isu pembaziran makanan pula merupakan antara petunjuk prestasi yang kini diberi perhatian.
“Malaysia kini berada di tangga ke-68 daripada 70 ekonomi bagi petunjuk itu dan tahun ini kita akan memberi tumpuan untuk memperbaikinya.
“Malah dalam mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, beliau menyatakan komitmen untuk menangani isu pembaziran makanan serta bagaimana MPC dapat membantu mengurangkannya,” katanya.
Beliau berkata pemantauan berterusan terhadap petunjuk prestasi yang masih lemah disokong melalui platform STAR, Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2024 serta penguatkuasaan Akta Iltizam bagi memastikan setiap kerangka reformasi dilaksanakan secara berfasa dan berkesan.
Menurut Mohamad Norjayadi, usaha penambahbaikan berterusan itu penting bagi menyokong sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu meletakkan Malaysia di tangga ke-12 dunia menjelang 2030, selain memacu kadar pertumbuhan produktiviti negara kepada 3.6 peratus.- Bernama





