Hari Pahlawan: Sarawak kenang jasa perwira pertahan kedaulatan negara

Facebook
WhatsApp
TIUPAN Last Post, kawalan kehormatan dan kibaran Jalur Gemilang mewarnai Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching hari ini.

PETRA JAYA: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 berlangsung penuh istiadat di Dataran Perayaan Petra Jaya hari ini sebagai tanda penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan, keamanan serta kesejahteraan negara.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri istiadat tersebut yang bermula pada 8.00 pagi.

Ketibaan mereka disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusuf.

ISTIADAT Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 berlangsung penuh istiadat di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini sebagai penghormatan kepada jasa dan pengorbanan para perwira negara.

Istiadat itu melibatkan penyertaan seramai 455 anggota terdiri daripada 14 pegawai dan 441 anggota lain-lain pangkat.

Perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Ferry Shahrul Rizal Roslan, manakala Penolong Ketua Perbarisan ialah Deputi Superintendan Polis Morebon Manju dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kapten Muhammad Faqih Sabri dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Udara Kuching bertindak sebagai Ajutan Perbarisan, manakala Pegawai Waran I Hazman Muhamad, Sarjan Mejar Rejimen Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, menyandang tugas sebagai Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan.

ANGGOTA Kawalan Kehormatan Utama berbaris penuh disiplin sempena Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

Acara dimulakan dengan Hormat Diraja dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti tiupan Last Post, persembahan koir, tayangan montaj khas serta deklamasi sajak Maruah Yang Tidak Dijual.

Tiupan Last Post menjadi simbol penghormatan terakhir kepada anggota keselamatan yang gugur ketika bertugas, manakala Tiupan Rouse yang mengakhiri istiadat melambangkan semangat untuk terus bangkit meneruskan amanah serta mempertahankan keamanan yang diwariskan oleh para pahlawan.

BARISAN anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan veteran menyemarakkan Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak 2026 sebagai tanda mengenang jasa perwira yang mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Pada majlis sama, Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah serta tetamu kenamaan turut diperkenalkan kepada enam penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), iaitu Pegawai Waran Satu (B) Beliang Bali, Sarjan (B) Mereng Imang, Lans Koperal (B) Unggek Atin, Lans Koperal (B) Bajau Ladi, Sarjan (B) Dajai Anggie dan Sub Inspektor (B) Mohammad Salim.

Mewakili Premier Sarawak pada istiadat berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Oleh Shahrul Qaizat