GAZA: Serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza setelah satu minggu keganasan antara negara Yahudi dan pejuang Palestin menyebabkan lebih daripada 200 orang maut.
Hingga semalam, Israel melancarkan puluhan serangan dalam jarak beberapa minit di kawasan pesisir Palestin yang dikawal oleh kumpulan Islam Hamas, menurut wartawan AFP dan tentera.
Api menerangi langit ketika letupan menggegarkan kota Gaza.
Serangan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan merosakkan ratusan bangunan, kata pihak berkuasa tempatan tetapi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penduduk Gaza Barat, Mad Abed Rabbo, 39 menyatakan serangan itu mengerikan dan menakutkan.
“Tidak pernah ada serangan sebesar ini,” katanya.
Tentera Israel mengatakan dalam satu kenyataan bahawa mereka menyerang rumah sembilan komandan Hamas berpangkat tinggi tanpa memberikan perincian mengenai korban.
Pengeboman semalam juga termasuk serangan ketiga pada apa yang disebut tentera sebagai “Metro”, yang merupakan istilah untuk rangkaian terowong bawah tanah Hamas.
Sebanyak 54 jet tempur menembusi terowong sejauh 15 kilometer yang sebelum ini diakui oleh tentera sebahagian melalui kawasan awam.
Gazan Mani Qazaat mengatakan.” Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu harus menyedari kita orang awam, bukan pejuang” sambil menambah, “Saya merasa seperti saya mati”.
Menurut Kementerian Kesihatan, serangan terbaharui itu berlaku sehari selepas 42 rakayt Palestin di Gaza maut termasuk lapan kanak-kanak dan dua doktor sekali gus merekodkan jumlah kematian harian terburuk di kawasan berkenaan sejak pengeboman bermula.
Secara keseluruhan, 197 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza termasuk sekurang-kurangnya 58 kanak-kanak, dan lebih dari 1.200 cedera sejak Israel melancarkan kempen udara melawan Hamas pada 10 Mei lalu setelah kumpulan itu melancarkan serangan roket yang dipicu rusuhan di Jerusalem.
Sementara itu, di Israel seramai 10 orang termasuk satu kanak-kanak terbunuh dan 294 cedera akibat tembakan roket yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata di Gaza.
Tentera Israel mengatakan sekitar 3,100 roket dilancarkan sejak Isnin minggu lalu dari Gaza sekali gus mencatatkan kadar tertinggi, tetapi menambah sistem anti-peluru berpandu Iron Dome telah mematahkan lebih dari 1,000 roket itu.
Netanyahu mengatakan dalam siaran di televisyen pada Ahad lalu bahawa kempen menentang organisasi pengganas dilanjutkan dengan kekuatan penuh dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.
Tentera Israel mengatakan mereka menyasarkan infrastruktur Hamas dan Kumpulan Jihad Islam bersenjata, kilang senjata dan tempat penyimpanan.
Serangan udara Israel juga menyerang rumah Yahya Sinwar, Ketua Sayap Politik Hamas di Gaza, kata tentera dan menyiarkan rakaman asap dan kerosakan teruk, tetapi tanpa mengatakan jika Sinwar terbunuh.
Pada Sabtu lalu, Israel memberi arahan kepada wartawan Al Jazeera dan agensi berita AP dalam tempoh satu jam untuk mengosongkan pejabat sebelum melancarkan serangan udara dan menyebabkan blok menara mereka menjadi timbunan sampah.
Netanyahu pada Ahad lalu mengatakan bahawa bangunan itu juga menempatkan pejabat perisik “pengganas” Palestin.
“Ini adalah sasaran yang sah,” katanya.