Polis Bau perhebat rondaan banteras lumba haram

Facebook
WhatsApp
POLIS menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dalam operasi penguatkuasaan.

BAU: Polis menjalankan rondaan dan pemeriksaan mengejut ke atas kumpulan penunggang motosikal di kawasan Simpang Salcra Bratak–Jalan Siginang menghala ke Kampung Rumih dan Opar susulan aduan mengenai kegiatan lumba haram.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman, berkata operasi itu dilaksanakan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung kegiatan sekumpulan belia yang dipercayai terlibat dalam lumba haram sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, hasil rondaan mendapati tiada aktiviti lumba haram dikesan. Bagaimanapun, anggota polis meneruskan rondaan dan pemeriksaan di KM3 Jalan Bau–Krokong.

“Hasil operasi itu, sebanyak empat saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk tidak memakai topi keledar, tiada perlindungan insurans atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan serta memandu tanpa lesen yang sah,” katanya.

Mohd Haide berkata, polis akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti bagi membanteras kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram atau perhimpunan motosikal yang boleh mengundang kemalangan, mengganggu ketenteraman awam serta dikenakan tindakan undang-undang.

Mohd Haide turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dan keprihatinan mereka dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

Katanya, sebarang aduan berkaitan keselamatan jalan raya boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Connie Chieng