Penyerahan tanah bekas RASCOM pacu pembangunan Nanga Sekuau

Facebook
WhatsApp
ADUN Tamin Christopher Gira Sambang.

SIBU: Keputusan Kerajaan Persekutuan melepaskan hak ke atas tapak bekas Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) kepada kerajaan Sarawak disifatkan sebagai titik permulaan kepada pembangunan lebih menyeluruh di Nanga Sekuau dan kawasan sekitarnya selepas sekian lama berdepan kekangan berkaitan status tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, keputusan itu bukan sahaja selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah mencerminkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan negeri.

Menurutnya, penduduk Nanga Sekuau telah lama menantikan penyelesaian isu berkenaan kerana status tanah bekas RASCOM sebelum ini menjadi antara faktor yang menghalang pelaksanaan pelbagai projek pembangunan atau menyebabkan ia tertangguh dalam tempoh yang panjang.

“Dengan isu pemilikan tanah kini diselesaikan, diharapkan kerajaan Sarawak dapat memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelan pembangunan komprehensif di kawasan tersebut, termasuk pembangunan penempatan baharu, kemudahan awam, infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

KAWASAN Keselamatan Rajang (RASCOM).

Beliau turut mencadangkan agar pembangunan pertanian moden, pelancongan luar bandar serta peluang pelaburan diberi perhatian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

“Keputusan ini bukan sahaja memberi kepastian dari sudut pentadbiran tanah, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih tersusun dan mampan.

“Kawasan bekas RASCOM mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pertumbuhan baharu yang memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Gira yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang terus konsisten memperjuangkan hak-hak Sarawak dan memastikan tanah yang diserahkan dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, sebagai ADUN Tamin, beliau akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan peluang pembangunan hasil keputusan itu diterjemahkan kepada projek yang memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat. 

“Saya berharap cadangan Pelan Pembangunan Sekuau Township dapat dipercepatkan pelaksanaannya, meliputi pembangunan kawasan komersial, perumahan, pasar, kemudahan kerajaan, pusat rekreasi dan infrastruktur asas bagi menjadikan Sekuau sebagai pusat pertumbuhan baharu di bahagian tengah Sarawak,” kata beliau.

Oleh Akun Giman