Casemiro teruja bergandingan dengan Messi di Inter Miami

Facebook
WhatsApp
PEMAIN baharu Inter Miami CF, Casemiro, bercakap kepada pihak media semasa sidang akhbar memperkenalkan beliau secara rasmi di Stadium Nu pada 30 Julai 2026 di Miami, Florida. Foto AFP

MIAMI, Amerika Syarikat: Bintang Brazil, Casemiro, melahirkan rasa kagumnya terhadap rakan sepasukan baharunya di Inter Miami, Lionel Messi, dengan menyifatkan bekas pencabarnya dalam saingan La Liga itu sebagai ‘dewa bola sepak.’

“Sudah tentu jika saya berada di sini, ini kerana dia dan untuk membantunya serta Inter Miami,” kata bekas pemain tengah Real Madrid itu mengenai bintang Argentina yang kini menjadi kapten kelab berkenaan.

“Saya mahu menikmati peluang bermain bersamanya, membantunya meraih kemenangan dan menjadikannya lebih hebat. Dia ialah salah seorang dewa, jika bukan dewa bola sepak,” kata Casemiro ketika diperkenalkan secara rasmi oleh kelab baharunya dalam saingan Liga Bola Sepak Utama (MLS).

Casemiro, yang menyertai MLS selepas beraksi selama empat musim bersama Manchester United, telah membuat penampilan sulung bersama Inter Miami ketika pasukannya menewaskan Montreal 1-0 pada Sabtu lalu.

Messi tidak diturunkan dalam perlawanan itu, kurang dua minggu selepas Argentina tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

LIONEL Messi.

Casemiro berkata beliau tidak sabar untuk bergandingan dengan Messi selepas bertahun-tahun menentang bintang itu dalam perlawanan El Clasico antara Real Madrid dengan Barcelona.

“Saya tahu dia mustahil untuk dihentikan. Saya sendiri tidak pernah berjaya melakukannya,” kata Casemiro.

“Saya sentiasa memerlukan bantuan rakan sepasukan. Dan selepas dua sesi latihan bersamanya, ternyata dia memang mustahil untuk disekat.”

Pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas, kelihatan gembira ketika menyerahkan jersi merah jambu kepada Casemiro sambil menafikan berlakunya sebarang pelanggaran peraturan dalam perpindahan pemain itu meskipun MLS sedang menyiasat dakwaan kemungkinan berlaku gangguan rundingan (tampering).

Siasatan itu tertumpu kepada sistem hak penemuan (discovery rights) MLS yang mewajibkan sesebuah kelab memperoleh hak berkenaan sebelum memulakan rundingan dengan pemain berprofil tinggi tertentu.

Casemiro sebelum ini berada dalam senarai hak penemuan LA Galaxy dan Mas berkata beliau telah menghubungi kelab itu sebelum memulakan rundingan dengan pemain Brazil berkenaan.

“Peraturan tetap peraturan dan kami mematuhinya sepenuhnya mengikut kehendak undang-undang,” kata Mas sambil menegaskan bahawa Inter Miami tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Casemiro atau wakilnya sebelum terlebih dahulu berhubung dengan LA Galaxy. — AFP

Nova tinggalkan BAM, kembali ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto akan menamatkan perkhidmatannya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) penghujung bulan ini dan