Polis sahkan warga emas hilang ditemui meninggal dunia dalam Op SAR

Facebook
WhatsApp
KETUA Polis Daerah Sri Aman...Superintendan Dennis Bunyam

SIMANGGANG: Polis mengesahkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak awal pagi semalam ditemukan meninggal dunia dalam satu operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) yang dijalankan di kawasan Jalan Sinjor, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata mangsa yang berusia 75 tahun dari Rumah Anjar, Rumah Panjang Sinjor, Pasir Panas, Sri Aman.

MAYAT mangsa ditemukan meninggal dunia dalam satu operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) yang dijalankan di kawasan Jalan Sinjor, Simanggang hari ini. Foto: IPD Sri Aman

Beliau berkata mangsa dilaporkan keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga pada awal pagi semalam sebelum usaha pencarian dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung, namun gagal menemukannya.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada 7.45 pagi hari ini sebelum Op SAR diaktifkan pada 9.00 pagi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dennis, pada kira-kira 11.10 pagi, pasukan Op SAR berjaya menemui mangsa dalam keadaan terlentang di kawasan semak di penghujung Jalan Sinjor, kira-kira 1.5 kilometer dari kediamannya.

Beliau berkata pemeriksaan awal pada fizikal luar badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan dan mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sri Aman II untuk bedah siasat serta tindakan lanjut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu ditamatkan pada 11.30 pagi selepas mangsa berjaya ditemui.

Dennis turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dan penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang operasi dijalankan sehingga berjaya menemukan mangsa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat ahli keluarga, khususnya warga emas atau individu berisiko, dilaporkan hilang bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Oleh Adi Safarman