PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan Darjah Kebesaran Negeri kepada 151 penerima dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar Astana, hari ini.
Mengiringi beliau pada istiadat berkenaan ialah isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Pengurniaan darjah dimulakan dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada 10 penerima.
Turut dikurniakan ialah Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 20 penerima, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) kepada 12 penerima serta Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) kepada 21 penerima.
Selain itu, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 45 penerima.

Darjah terakhir yang dikurniakan ialah Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 43 penerima.
Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua.





