MIRI: Pasukan Pelayaran Sarawak kini giat memperkemaskan persiapan menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan meletakkan sasaran membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus turun padang temui Pasukan Pelayaran Sarawak dan menyuntik semangat para atlet dengan slogan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ di salah sebuah hotel di sini petang ini.
Rosey yang juga Penolong Ketua Kontinjen berharap pasukan tidak lemah semangat, jangan putus asa dan jangan buang masa, teruskan menghadapi cabaran sehingga berjaya naik ke podium memungut pingat untuk Sarawak.
“Semangat juang tinggi dan kerjasama erat dalam pasukan menjadi antara kekuatan utama kontinjen pelayaran Sarawak yang bertekad menyumbang pingat kepada negeri, sekali gus membantu kontinjen Sarawak mencapai sasaran keseluruhan pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026,” jelasnya.
Kontinjen pelayaran negeri dibarisi 14 atlet, terdiri daripada lapan atlet lelaki dan enam atlet wanita, termasuk sembilan atlet senior serta lima atlet junior yang akan bersaing dalam pelbagai acara pelayaran.
Persiapan rapi yang dijalankan melibatkan latihan intensif, pemantapan aspek teknikal serta fizikal atlet bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik apabila turun beraksi di Selangor nanti.
Barisan atlet turut dibimbing oleh dua pegawai dan tiga jurulatih yang bertanggungjawab menyelaras latihan serta strategi pertandingan.
Sarawak secara keseluruhannya menyasarkan sekitar 70 pingat emas pada temasya kali ini.
Senarai nama kontinjen Sukan Pelayaran Sarawak bagi SUKMA XXII Selangor 2026 iaitu Pengurusan Pasukan Aslan Salam, tiga jurulatih iaitu Jamil Ali, Syahzharoul Aiman Rozaiman, Israr Hazim Ismail.
Empat belas atlet iaitu Muhammad Yusri Syahrizan, Muhammad Abrisam Athmar Aslan, Nur Aqilah Raifana Aslan, Nur Asma Syahrizan, Fikri Izzan Zamri, Farish Hanif Zamri, Qaisara Damia Mohamad Faizal, Mohamad Hazmi Suwandy, Nur Ain Syahrizan, Muhammad Yaasin Syahrizan, Muhammad Afham Amsyar Aslan, Firas Syazwan Zamri, Qairina Nur Aisy Mohamad Afandi Abdul Fattah dan Izz Qaireen Chairullah.





