SIBU: Hampir 100 peniaga di Pasar Sentral Sibu telah melakukan pendaftaran dengan 71 mendaftar melalui borang dan 25 melalui aplikasi MySejahtera.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, peniaga di pasar sentral meluahkan kekecewaan berikutan penjualan perniagaan perlahan yang mereka alami sejak pasar dibuka semula.
“Perkara ini sememangnya dijangka kerana orang ramai menghindari tempat ini disebabkan banyak kes positif Covid-19 pada bulan Mac dan awal April lepas,” jelasnya, menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook semalam.
Terdahulu, Clarence bersama kakitangan MPS dan ahli Junior Chamber International (JCI) Sibu turun padang ke Pasar Sentral Sibu dan Pasar Tamu Indah untuk mendaftar para peniaga bagi program imunisasi Covid-19 semalam.
Menurut Clarence mereka telah mendaftar seramai 25 peniaga di Pasar Tamu Indah dalam program tersebut.
“Kami juga mendapati pendaftaran di kalangan peniaga Iban jauh lebih baik daripada peniaga Cina. Ini menunjukkan tahap kesedaran lebih baik di kalangan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, semua yang enggan mendapat vaksin, mengaku mempunyai salah satu komorbiditi sehingga menjadikan mereka tidak layak mendapat vaksin Covid-19.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus melakukan publisiti untuk mengubah corak pemikiran ini,” tegasnya.
Katanya, semua peniaga perlu diberi vaksin secepat mungkin untuk menjadikan pasar selamat bagi pelanggan.
“Saya akan mencadangkan untuk semua pasar di bawah bidang kuasa MPS, setiap peniaga mesti diberi vaksin jika tidak, mereka tidak dapat melakukan peniagaan sehingga mereka melakukannya.
“Saya merancangkan ini untuk semua gerai makanan dan minuman yang merangkumi kedai kopi, restoran, bistro dan bar.
“Kami mahukan persekitaran yang selamat untuk pelanggan. Semua ini hanya boleh berlaku apabila kita diberi vaksin,” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN