LOS ANGELES: Pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Jared Leto, menafikan dakwaan serangan seksual dan gangguan seksual yang dibuat terhadapnya oleh 10 wanita menerusi sebuah dokumentari baharu yang disiarkan oleh BBC.
Wanita-wanita berkenaan mendakwa mereka menjadi mangsa Leto antara tahun 2002 hingga 2016.
Dua daripada mereka menuduh Leto melakukan serangan seksual ketika mereka berusia 17 tahun, manakala seorang lagi mendakwa pelakon itu mengugut untuk melakukan serangan seksual terhadapnya ketika berusia 19 tahun.
Seorang lagi wanita mendakwa menerima beberapa panggilan telefon berunsur seksual daripada pelakon itu ketika berusia 16 tahun, selain mendakwa Leto mengajaknya melakukan hubungan seks.
Empat lagi wanita pula mendakwa mengalami gangguan seksual melalui panggilan telefon daripada vokalis kumpulan rock Thirty Seconds to Mars itu.
“Saya tidak pernah melakukan serangan seksual terhadap sesiapa sepanjang hidup saya,” kata pelakon berusia 54 tahun itu dalam satu kenyataan.
“Dakwaan ini sama sekali tidak benar dan tidak berasas.”
Sembilan daripada 10 wanita terbabit tampil buat pertama kali dalam dokumentari BBC berjudul Jared Leto: Hollywood’s Dark Secret.
Pelakon yang memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada 2014 menerusi filem Dallas Buyers Club itu sebelum ini turut berdepan dakwaan serupa.
Pada 2025, beberapa wanita lain turut menuduhnya melakukan serangan seksual dalam satu siasatan yang dijalankan oleh majalah digital AS, Air Mail. Ketika itu, Leto juga menafikan sebarang perlakuan tidak wajar. – AFP





