SIBU: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret Sarikei hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh kawasan tapak projek jalan di Jalan Jemoreng-Passin, Matu.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, tertuduh berusia 37 tahun ditahan susulan kejadian yang berlaku kira-kira 10.15 malam ketika pengadu membuat rondaan di kawasan tapak projek.

Menurutnya, semasa rondaan, pengadu terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang dipandu suspek di dalam kawasan berkenaan.
“Pengadu cuba menghampiri kenderaan itu, namun suspek bertindak melarikan diri dengan memecut keluar dari kawasan tapak projek sebaik menyedari kehadiran pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Matu Daro dengan bantuan anggota Balai Polis Matu kemudian berjaya menahan suspek serta merampas kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan persendirian. Suspek direman selama empat hari sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak.
“Hari ini (29 Julai), tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sarikei, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapkan dan dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu bermula dari tarikh hukuman. Tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Sibu,” tegasnya.
Rahim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki atau menceroboh kawasan larangan serta kawasan persendirian tanpa kebenaran pemilik tanah atau premis.
Oleh Akun Giman





