Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan sentimen tempatan lebih baik

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran menerima rangsangan daripada kenyataan positif Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour semalam dan jangkaan perubahan dasar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Pada 8 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.0880/0940 berbanding dolar AS daripada 4.0885/0930 semasa ditutup semalam.

Menurut penganalisis, sentimen pasaran semakin baik selepas Abdul Rasheed memaklumkan ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh untuk mencatat pertumbuhan antara 4.0 hingga 5.0 peratus, dengan kemungkinan menghampiri had julat atas itu.

 Abdul Rasheed berkata kadar inflasi pada 2026 pula dijangka kekal terurus walaupun terdapat kejutan bekalan tenaga.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan berhati-hati menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan diumumkan malam ini, dengan pergerakan dijangka berada dalam lingkungan RM4.08 hingga RM4.09 berbanding dolar AS.

Beliau berkata Indeks Keyakinan Pengguna Conference Board AS berada pada paras lebih rendah daripada jangkaan iaitu 90.8 mata pada Julai berbanding anggaran konsensus 92.4 mata.

“Susulan itu, hasil bon Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing susut empat mata asas kepada 4.29 peratus dan 4.61 peratus, sekali gus menunjukkan Fed dijangka mengekalkan kadar faedah pada paras semasa dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada awal dagangan hari ini.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4945/4983 daripada 2.4948/4976 semasa ditutup pada Selasa manakala susut berbanding euro kepada 4.6538/6606 daripada 4.6429/6480 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4305/4385 daripada 5.4287/4347.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1625/1675 daripada 3.1603/1640 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1775/2016 daripada 12.1494/1681 sebelum ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan dengan mencatat sedikit perubahan berbanding rupiah Indonesia pada 226.0/226.5 berbanding 226.0/226.4 ketika mengakhiri dagangan pada Selasa dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.63/6.64. – Bernama