EARL ANEK
SARIKEI: Dua mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah persendirian mereka di Rumah Anong, Sungai Sibau, Sare, musnah terbakar tengah malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, ketika kejadian, suami isteri terbabit tidak berada dirumah.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah malam tadi (semalam).
“Seramai 15 anggota bomba diketuai PBK II Mijan Pamin bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, pagi semalam.
Tambahnya, setibanya dilokasi yang jaraknya 20 kilometer dari BBP Sarikei, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman setingkat jenis separuh kekal telah musnah terbakar dengan 100 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200′ air dari jentera dan air terbuka 300′ menggunakan pam angkut.
“Semasa kebakaran berlaku semua penghuni tiada di rumah,” ujarnya.
Ujarnya lagi, kebakaran dapat dikawal pada jam 12.45 tengah malam dan dipadam sepenuhnya pada jam 2 pagi.