Ketahanan antibiotik semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia

Facebook
WhatsApp
KAJIAN mendapati ketahanan antibiotik dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia semakin meningkat dan dijangka terus bertambah buruk menjelang 2035. Foto: Janaan AI

SYDNEY: Ketahanan antibiotik dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di seluruh dunia dan dijangka bertambah buruk dalam tempoh satu dekad akan datang, sekali gus mengancam keberkesanan antibiotik yang menyelamatkan nyawa, menurut satu kajian yang diketuai penyelidik Australia, lapor Xinhua.

Kajian yang diketuai University of Sydney (USYD) Australia itu mendapati ketahanan antibiotik meningkat di setiap rantau antara 2004 hingga 2022, dengan bayi dan kanak-kanak yang dirawat di unit rawatan rapi serta mereka yang tinggal di negara yang mempunyai sumber penjagaan kesihatan terhad paling terjejas, menurut kenyataan USYD yang dikeluarkan hari ini.

Penyelidik dari Australia, China dan Amerika Syarikat (AS) menganalisis lebih 106,000 sampel jangkitan daripada kanak-kanak berusia sehingga 18 tahun di 82 negara dan wilayah.

Kerintangan antimikrob (AMR) berlaku apabila bakteria berevolusi sehingga menjadi kebal terhadap  antibiotik, sekali gus menyebabkan jangkitan lebih sukar dirawat.

Menurut penyelidik, kanak-kanak amat terdedah kepada kerintangan antimikrob (AMR) kerana mereka mengalami kadar jangkitan bakteria yang tinggi, namun mempunyai pilihan rawatan antibiotik yang lebih terhad berbanding orang dewasa. Mereka turut menyatakan bahawa sekitar 840,000 kematian kanak-kanak berumur di bawah lima tahun di seluruh dunia pada 2021 dikaitkan dengan AMR.

Dapatan kajian yang diterbitkan dalam JAMA (Journal of the American Medical AssociationPaediatrics itu menunjukkan ketahanan terhadap antibiotik meningkat paling ketara melibatkan antibiotik yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antibiotik ‘pilihan terakhir’ atau yang ‘perlu dipantau rapi’ bagi mengelakkan penggunaan berlebihan serta memastikan keberkesanannya terus terpelihara apabila rawatan pilihan pertama gagal.

Kajian itu turut mengenal pasti dua jenis bakteria gram-negatif, iaitu Acinetobacter baumannii dan Klebsiella, sebagai penyumbang utama kepada peningkatan ketahanan antibiotik di peringkat global. Klebsiella merekodkan peningkatan paling pesat, khususnya di Asia Tenggara, Eropah Timur dan Pasifik Barat.

Pasukan penyelidik itu turut melancarkan AMR in Kids, sebuah platform dalam talian yang menjejak ketahanan antibiotik mengikut negara, jenis bakteria dan kelas antibiotik, selain menyediakan unjuran sehingga 2035. – Bernama