Lapangan Terbang Miri diperkasa melalui projek naik taraf dan pembangunan baharu

Facebook
WhatsApp
TINJAU...Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin meninjau perkembangan projek naik taraf Lapangan Terbang Miri semasa sesi libat urus bersama pihak pengurusan lapangan terbang dan pegawai Kementerian Pengangkutan.

MIRI: Lapangan Terbang Miri terus diperkasakan menerusi pelaksanaan beberapa projek naik taraf infrastruktur serta perancangan pembangunan masa depan bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasinya sebagai pintu masuk utama ke utara Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau bersama pegawai Bahagian Penerbangan Kementerian Pengangkutan telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengurusan Lapangan Terbang Miri bagi meninjau kemajuan projek-projek yang dilaksanakan di bawah Program Perbelanjaan Modal (Capex) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut beliau, beberapa projek telah berjaya disiapkan termasuk kerja menaik taraf tandas awam pada April lalu dan kaunter daftar masuk pada Mei.

“Naik taraf ruang istirahat VIP dijangka siap pada 1 Ogos ini, manakala pembinaan pagar keselamatan baharu sepanjang sekitar dua kilometer disasarkan siap menjelang akhir September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kim Shin turut memaklumkan bahawa sistem lampu pandu lapangan terbang sedia ada akan digantikan dengan sistem LED moden bagi meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan operasi pesawat.

Dalam perkembangan sama, cadangan Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Miri bernilai RM445 juta kini sedang melalui proses Kejuruteraan Nilai sebelum dilaksanakan bagi menampung pertumbuhan trafik penumpang dan perkhidmatan udara pada masa depan.

Beliau turut mencadangkan pembinaan gudang kargo khusus di Lapangan Terbang Miri bagi memperkukuh pengendalian kargo, membantu industri tempatan serta menjadikan Miri sebagai hab logistik dan pengedaran bagi utara Sarawak dan wilayah berhampiran.

Selain itu, beliau menekankan keperluan segera untuk menaik taraf atau membangunkan semula kemudahan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), khususnya bangunan sedia ada yang semakin uzur.

Lee turut merakamkan penghargaan kepada MAHB dan pengurusan Lapangan Terbang Miri atas komitmen mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan tersebut.

Katanya, kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan Lapangan Terbang Miri berkembang sebagai hab penerbangan serantau yang moden, cekap dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Oleh Liong Chai Ling