Piala Dunia Kulinari Borneo angkat masakan Borneo ke pentas dunia

Facebook
WhatsApp
CHEF Julian Lai (tiga kanan), selepas menghadiri sidang media penganjuran Persidangan Tahunan UCCN Bandar Gastronomi 2026, di MBKS hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Lebih 30 peserta dari seluruh dunia bakal menyertai Piala Dunia Kulinari Borneo (Borneo Culinary World Cup – BCWC) yang julung kali dianjurkan di Kuching, sekali gus membuka peluang memperkenalkan masakan Borneo kepada komuniti kulinari antarabangsa.

Chef Julian Lai berkata, penganjuran pertandingan bersempena penganjuran Persidangan Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) Bandar Gastronomi 2026 amat bertepatan dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama Malaysia, selain menjadi platform memperkasa piawaian (standard) kulinari di Sarawak.

Menurutnya, pertandingan itu bukan sahaja menghimpunkan cef dari pelbagai negara, malah memberi peluang kepada bakat tempatan untuk dinilai oleh juri antarabangsa serta memperkenalkan keunikan masakan Borneo kepada dunia.

“Kita merasakan ia adalah langkah yang tepat kerana Kuching merupakan satu-satunya Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO di Malaysia. Kita membawa acara ini ke sini untuk meningkatkan standard kulinari di Kuching dan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Persidangan Tahunan UCCN Bandar Gastronomi 2026, di MBKS hari ini.

Beliau mendedahkan, pertandingan itu dijangka menarik penyertaan peserta dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Colombia, Algeria, Syria, Iran, Iraq, Vietnam, Thailand, Perancis dan United Kingdom.

Katanya, jumlah penyertaan pada awalnya dijangka melebihi 40 peserta, namun beberapa penyertaan dari rantau Asia Barat terjejas susulan gangguan perjalanan antarabangsa.

Chef Julian berkata, pertandingan itu menampilkan tiga kategori utama iaitu pelajar sekolah, industri kulinari dan cef profesional.

Menurutnya, kategori industri kulinari turut membuka peluang kepada pengusaha makanan tempatan termasuk peniaga makanan jalanan untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Pengusaha seperti yang menjual mi kolok, laksa dan mi jawa juga boleh menyertai. Ini bukan hanya untuk cef profesional.

“Kita mahu orang tempatan mendapat peluang dinilai oleh juri antarabangsa yang berpengalaman,” ujarnya.

Beliau berkata, pelbagai kategori akan dipertandingkan termasuk kek, roti, seni jeli tiga dimensi, pastri, serta hidangan daripada pelbagai budaya seperti Asia Barat, Dayak, Barat, Cina, Thai, Vietnam dan India.

Katanya, antara elemen istimewa pertandingan itu ialah usaha memperkenalkan masakan Borneo yang masih baharu kepada komuniti kulinari antarabangsa.

“Masakan Borneo adalah sesuatu yang baharu kepada dunia dan kita mahu memperkenalkannya menerusi pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya, selepas proses penilaian dan penggambaran hidangan selesai, pengunjung berpeluang menikmati hasil masakan yang dipertandingkan, khususnya dalam kategori kek dan hasil seni kulinari.

Katanya, hari pertama akan menyaksikan majlis pembukaan pertandingan, manakala hari kedua dan ketiga berlangsung dalam suasana lebih santai bagi membolehkan pengunjung menyaksikan cef dari pelbagai negara berkongsi kemahiran, kreativiti serta budaya makanan masing-masing.

“Kita menggalakkan orang ramai datang dan melihat sendiri cef dari pelbagai negara berkongsi kemahiran, kreativiti serta budaya makanan masing-masing,” katanya.

Pertandingan kulinari itu akan berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos depan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 3 dan dibuka kepada orang ramai.

Pertandingan itu akan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka turut menghadiri majlis berkenaan. 

Oleh Adele Rissa