WASHINGTON: Kenderaan pertama telah menyeberangi Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang baru dibuka dan menghubungkan Amerika Syarikat (AS) dengan Kanada, menurut Pihak Berkuasa Jambatan Windsor-Detroit (WDBA) pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Hari ini merupakan hari yang mengujakan dan bersejarah apabila kami mengalu-alukan pengguna pertama Jambatan Antarabangsa Gordie Howe. Visi dan harapan untuk mewujudkan sistem pengangkutan sempadan baharu kini menjadi kenyataan bagi pemandu yang menuju ke tempat kerja, melawat keluarga dan rakan, meneroka komuniti kami atau mengangkut barangan.
“Kami amat berbangga dapat menerima pengguna rentas sempadan hari ini, esok dan untuk generasi akan datang,” menurut WDBA dalam satu kenyataan.

Secara berasingan, Perdana Menteri Mark Carney berkata laluan itu akan menyokong perdagangan rentas sempadan bernilai C$300 bilion (AS$212 bilion) antara wilayah Ontario dan negeri Michigan.
“Dinamakan sempena seorang tokoh Kanada yang hebat, jambatan ini merupakan kemuncak kerjasama selama lebih dua dekad serta pelaburan untuk generasi akan datang dalam masa depan ekonomi kita. Hari ini, ia dibuka secara rasmi,” kata Carney menerusi platform media sosial X.
Kanada mengadakan majlis pembukaan sulung laluan antarabangsa itu pada 24 Julai lepas.
Bagaimanapun, acara itu diadakan tanpa wakil rasmi dari Washington selepas Ottawa membatalkan pembukaan bersama susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif tambahan 50 peratus ke atas beberapa barangan Kanada mulai 19 Ogos. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti





