SARATOK: Operasi memburu buaya yang dijalankan di Sungai Krian, Kampung Perpat, memasuki hari keenam apabila seekor lagi buaya jantan sepanjang 3.6 meter berjaya ditangkap hari ini.
Reptilia itu berjaya diperangkap selepas memakan umpan yang dipasang oleh pasukan operasi di kawasan Tanjung Lubuk Nibong, lokasi yang dikenal pasti sebagai antara kawasan tumpuan pergerakan buaya.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan tiga ekor buaya berjaya ditangkap sepanjang enam hari operasi yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan (SFC) di kawasan berkenaan.
Operasi berkenaan dilancarkan susulan kebimbangan penduduk terhadap ancaman buaya di Sungai Krian, khususnya selepas insiden serangan yang berlaku pada 20 Julai lalu.
Dalam kejadian itu, seorang nelayan tempatan terselamat daripada menjadi mangsa serangan buaya ketika berada di Sungai Krian berhampiran Rumah Galing, Lubok Nibong.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki dan laluan harian.
Ketua Kaum Kampung Perpat, Azman Nawi, mengingatkan masyarakat, khususnya mereka yang turun menangkap ikan di Sungai Krian, supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.
Beliau berkata, langkah berjaga-jaga perlu dipatuhi setiap masa memandangkan ancaman buaya di kawasan itu masih wujud walaupun beberapa ekor telah berjaya ditangkap.
SFC dijangka meneruskan operasi memburu buaya di Sungai Krian bagi mengurangkan risiko kepada penduduk serta memastikan keselamatan komuniti yang menjalankan aktiviti di sungai berkenaan.
Penduduk turut berharap operasi tersebut dapat diteruskan sehingga ancaman buaya di kawasan Sungai Krian benar-benar dapat dikawal, sekali gus mengembalikan keyakinan masyarakat untuk menjalankan aktiviti harian dengan lebih selamat.
Oleh Adi Safarman




