KABONG: Persiapan bagi menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong kini mula digerakkan menerusi penganjuran mesyuarat jawatankuasa penyelarasannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah Peringkat DUN Kabong yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, semalam.

Perjumpaan tersebut diadakan sebagai langkah awal untuk merangka, merancang dan memastikan segala agenda program dapat disusun dengan teratur, lancar serta berkesan.
Menurut Chee Kadir, perancangan yang rapi dari peringkat awal amat penting bagi memastikan pelaksanaan majlis berjalan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai cadangan program dan persiapan teknikal telah dibincangkan secara mendalam oleh ahli jawatankuasa yang dilantik.
Fokus utama perbincangan adalah untuk meletakkan pengisian yang berimpak tinggi agar sambutan pada tahun ini berlangsung dengan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Langkah ini juga bertujuan menarik penyertaan yang lebih menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat di sekitar kawasan Kabong.
Beliau menekankan bahawa sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sambil menghayati sirah perjuangan Baginda, program ini diharap dapat memperkukuhkan ukhuwah, memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Chee Kadir berharap agar segala perancangan yang dirangka dipermudahkan urusannya dan sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah Peringkat DUN Kabong dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Oleh Adi Safarman




