TOKYO, Jepun: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 melanda barat daya Jepun pada Selasa, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), yang turut mengeluarkan amaran tsunami.
JMA berkata, gegaran yang berlaku pada 4.27 petang (0727 GMT) di pulau Kyushu itu turut mencatatkan tahap tujuh, iaitu tahap tertinggi pada skala intensiti gegaran Shindo yang digunakan di Jepun.
Menurut agensi itu, tsunami setinggi sehingga satu meter dijangka melanda sekitar 5.00 petang (0800 GMT).
Penyiar NHK melaporkan ombak setinggi paras berkenaan mungkin telah direkodkan.
Pada 25 Jun lalu, gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda utara Jepun, namun tidak mengorbankan nyawa atau menyebabkan kerosakan besar.
Jepun merupakan antara negara paling aktif mengalami aktiviti seismik di dunia kerana terletak di atas empat plat tektonik utama di pinggir barat Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire).
Kepulauan yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk itu lazimnya mengalami ratusan gegaran setiap tahun dan menyumbang sekitar 18 peratus daripada jumlah gempa bumi di seluruh dunia.
Kebanyakan gempa bumi yang berlaku adalah berskala kecil, namun tahap kemusnahannya bergantung pada lokasi serta kedalaman pusat gempa di bawah permukaan bumi.
Negara itu masih dihantui tragedi gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 pada 2011 yang mencetuskan tsunami, mengorbankan atau menyebabkan kira-kira 18,500 orang hilang, selain memusnahkan loji tenaga nuklear Fukushima.
Pada 20 April tahun ini, gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda utara Jepun, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan menggegarkan bangunan-bangunan tinggi di Tokyo.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengeluarkan nasihat khas yang memberi amaran mengenai peningkatan risiko berlakunya gempa bumi bermagnitud 8.0 atau lebih kuat.
Nasihat tersebut ditarik balik selepas seminggu. – AFP





