SIBU: Seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan masyarakat setempat menyertai Program Hari TVET sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu serta HRD Corp baru-baru ini.
Program bertemakan “Terokai Kemahiran, Membina Masa Depan” itu menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pendekatan “TVET untuk SEMUA”, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta terhadap kemahiran teknikal, digital dan keusahawanan.
Majlis penutupan program tersebut disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Kanan HRD Corp, Nickson Jampang.
Peserta yang menyertai program itu terdiri daripada komuniti setempat serta pelajar Tingkatan Empat dari enam sekolah menengah sekitar Sibu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin, SMK Agama Sibu, SMK Kampung Nangka, SMK Bukit Lima, SMK Sungai Merah dan SMK Deshon.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti empat modul latihan amali iaitu AI Untuk Semua: Bijak Belajar & Mengurus Tugasan Dengan Google AI, Asas Penghasilan Kandungan Video Berasaskan AI & Etika Digital, Kursus Penghasilan Bebola Daging serta Kursus Asas Pengurusan Acara.

Menurut Nickson, kerjasama strategik antara KKSRCS, PPD Sibu dan HRD Corp membuktikan bahawa latihan berasaskan komuniti mampu meningkatkan literasi teknologi serta memperluaskan akses kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
“Latihan kemahiran bukan lagi sekadar pilihan sampingan, tetapi merupakan pelaburan modal insan yang amat penting bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampan dan bersedia mendepani cabaran industri masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar berkata, pihaknya bersama Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu telah melaksanakan 25 kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menawarkan pengecualian yuran bagi kursus PSH sempena NTW 2026 sehingga 2 Ogos ini bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai program peningkatan kemahiran.
Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Pegawai Pakar Peningkatan Sekolah Plus (SISC+) Pejabat PPD Sibu Aldrin Simel dan Lau Ung Huat, Timbalan Pengarah KKSRCS merangkap Ketua Unit PSH Tiong Hua Sang serta Pegawai Eksekutif HRD Corp Mirza Izzati Mustapha.
Oleh Tarani Lanting





