Tanaman kangkung sistem fertigasi meja hasilkan sayuran berkualiti tinggi

Facebook
WhatsApp
PESERTA projek tanaman kangkung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat, Abu Dhairaz Razali, 54, menuai kangkung yang diusahakan menggunakan sistem fertigasi meja di dalam rumah hijau ketika ditemui Bernama di tapak projek di Kampung Tok Has baru-baru ini. Foto BERNAMA

JERTIH: Keunikan sistem fertigasi meja dalam rumah hijau menjadikan penanaman kangkung lebih moden, bersih dan efisien, sekali gus berupaya menghasilkan sayuran berkualiti tinggi sepanjang tahun.

Peserta projek tanaman kangkung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat, Abu Dhairaz Razali, 54, berkata sistem itu menggunakan media sabut kelapa dan pengairan baja secara terkawal, yang memudahkan kerja penyelenggaraan berbanding kaedah konvensional. 

Sistem penanaman secara fertigasi meja itu turut menawarkan pelbagai kelebihan, antaranya mengurangkan serangan perosak, menjimatkan penggunaan racun serta memastikan bekalan air dan nutrien sentiasa mencukupi bagi menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti.

KEUNIKAN sistem fertigasi meja dalam rumah hijau menjadikan penanaman kangkung lebih moden, bersih dan efisien, sekali gus berupaya menghasilkan sayuran berkualiti tinggi sepanjang tahun. Sistem itu menggunakan media sabut kelapa dan pengairan baja secara terkawal, yang memudahkan kerja penyelenggaraan berbanding kaedah konvensional. Foto BERNAMA

“Tanaman yang diusahakan di atas meja itu turut memudahkan kerja menuai kerana dilakukan secara berdiri, selain tidak terjejas akibat banjir dan mampu diusahakan tanpa mengira musim,” katanya ketika ditemui Bernama di tapak projek tanaman kangkung di Kampung Tok Has, di sini baru-baru ini.

Permintaan yang tinggi terhadap kangkung turut mendorong Abu Dhairaz menumpukan sepenuhnya kepada tanaman itu, dengan menyasarkan peningkatan pengeluaran kepada 100 kilogram (kg) sehari menjelang 2027.

Abu Dhairaz berkata projek korporat itu dianugerahkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat pada penghujung 2021, sebelum kerja-kerja penanaman dimulakan pada Januari 2022.

“Projek itu diusahakan oleh dua peserta termasuk saya dan hasil jualan dibahagikan dengan PPK Pelagat sebanyak 30 peratus.

“Ia juga diusahakan di kawasan seluas 0.1 hektar yang mempunyai 12 rumah hijau dengan setiap satu dilengkapi dua meja tanaman berukuran satu meter lebar, 18 meter panjang dan setinggi 0.9 meter,” katanya sambil menambah pernah mengikuti kursus penanaman fertigasi meja di PPK Marang pada penghujung 2021.

KEUNIKAN sistem fertigasi meja dalam rumah hijau menjadikan penanaman kangkung lebih moden, bersih dan efisien, sekali gus berupaya menghasilkan sayuran berkualiti tinggi sepanjang tahun. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Abu Dhairaz berkata kangkung yang ditanam menggunakan sistem fertigasi meja lebih segar dan mampu bertahan antara dua hingga tiga hari selepas dituai berbanding kangkung Siam yang lazimnya hanya bertahan kira-kira sehari. 

Pada peringkat awal projek, mereka mengusahakan tanaman sawi dan kangkung, namun serangan penyakit serta ulat menyebabkan tanaman sawi kurang berhasil, sebelum beralih sepenuhnya kepada penanaman kangkung.

Setiap meja mampu menghasilkan antara 30 hingga 60 kg bagi setiap pusingan tuaian dalam tempoh kira-kira 23 hari, dan projek itu kini memasuki pusingan penanaman ke-40. 

“Harga belian pemborong ketika ini antara RM3 hingga RM4.50 sekilogram bergantung kepada cuaca serta bekalan kangkung dari Thailand,” katanya sambil menambah hasil tuaian dipasarkan ke Pasar Borong Jertih serta beberapa kedai runcit berhampiran. – Bernama

Berjaya jangan bergaya

SETIAP manusia menginginkan kejayaan. Ada yang mengejarnya melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan, kepimpinan, kekayaan atau kedudukan dalam masyarakat. Kejayaan sering dilihat

Sifat takabur racun hati yang membinasakan

SIFAT takabur atau sombong merupakan antara penyakit hati yang paling berbahaya dalam Islam. Sifat ini bukan sahaja mencemarkan keperibadian seseorang,