Berkat resipi ibu, Habsah koci leleh cetus fenomena pikat peminat kuih tradisional

Facebook
WhatsApp
HABSAH Mohammad, 59, menunjukkan pelbagai perisa kuih koci yang dijual di Habsah Koci Leleh di sini baru-baru ini. Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Bermula dengan hanya 200 biji tempahan awal secara kecil-kecilan di rumah sedekad lalu, perniagaan Habsah Koci Leleh kini merekodkan pencapaian luar biasa apabila menerima permintaan sehingga 8,000 biji kuih sehari.

Pengurusnya, Mohamad Zulhakiim Abu Mansor, 33, berkata kejayaan itu dicapai hasil titik peluh mereka sekeluarga khususnya dalam mengekalkan keaslian resipi, berbekalkan modal permulaan sekitar RM1,000.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Agroteknologi dan Keusahawanan dari Universiti Malaysia Kelantan itu, perjalanan keluarganya bermula pada 2015, hasil eksperimen membuat kuih koci dan menjualnya secara dalam talian dengan tempahan awal sekitar 200 biji sehari.

“Resipi ini adalah hasil air tangan ibu, berbekal ilmu yang dipelajari dalam kelas pembuatan kuih.

MOHAMAD Zulhakiim Abu Mansor, 33, bergambar bersama ibunya Habsah Mohammad, 59 , bapa Abu Mansor Senin, 69, dan adiknya Nur Hamira Abu Mansor, 27, di hadapan kedai Habsah Koci Leleh yang mereka usahakan bersama di sini baru-baru ini. – Foto BERNAMA

“Melihatkan kepada lambakan jualan kuih moden hari ini, kami terpanggil untuk terus mengangkat juadah tradisional tempatan ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Kuih koci adalah sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu yang diperbuat daripada tepung pulut dan disaluti kuah santan pekat, selain berintikan kelapa manis yang digaul bersama gula merah atau gula Melaka.

Dalam pada itu, usaha selama sedekad itu terus berkembang dengan pembukaan kedai rasmi di Taman Bukit Mewah di sini pada Februari lalu, sebelum perniagaan tersebut mendapat perhatian mendadak selepas tular susulan ulasan di platform Threads.

“Selepas kami viral, sambutan yang kami terima amat luar biasa apabila jumlah tempahan yang diterima meningkat mendadak sehingga kira-kira 8,000 biji kuih koci sehari,” katanya.

Beliau berkata pada kebiasaannya, sebelum ini perniagaan itu hanya merekodkan permintaan tinggi pada musim perayaan dan Ramadan apabila mereka membekalkan hingga 5,000 biji sehari ke bazar di samping menerima tempahan mencecah 1,000 biji bagi majlis perkahwinan.

PARA pekerja sibuk menyiapkan kuih koci di Habsah Koci Leleh di sini baru-baru ini berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan. Foto BERNAMA

“Tetapi selepas tular, kami perlu melipatgandakan operasi perniagaan bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap hari.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Zulhakiim mengakui ketika ini mereka berdepan cabaran dari segi aspek teknologi pemprosesan berikutan ketiadaan mesin khusus di pasaran bagi melancarkan lagi proses penghasilan kuih itu.

Ini menyebabkan mereka perlu mencari mesin alternatif bagi memastikan penghasilan kuih yang lebih cekap. 

PERNIAGAAN Habsah Koci Leleh yang diusahakan Habsah Mohammad serta keluarga merekodkan pencapaian luar biasa apabila menerima permintaan sehingga 8,000 biji kuih sehari, berbanding hanya 200 biji tempahan awal secara kecil-kecilan di rumah sedekad lalu. Foto BERNAMA 

Katanya, operasi harian kini dikendalikan oleh enam pekerja termasuk ahli keluarganya iaitu bapanya, Abu Mansor Senin, 69, dan adik perempuannya, Nur Hamira Abu Mansor, 27, dengan sasaran menambah lagi tenaga kerja bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Mengulas mengenai proses penghasilan kuih pula, ibunya, Habsah Mohammad, 59, berkata pemilihan bahan premium seperti jenama tepung dan gula merah dikekalkan mengikut resipi asal, termasuk proses penyediaan inti kelapa yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah bagi setiap 7 kilogram bagi menjamin kualiti kuih.

“Sebelum ini kami pernah menghasilkan variasi lain seperti buah naga dan cempedak, namun memilih untuk fokus kepada empat jenis utama iaitu pulut hitam, keledek, labu dan durian bagi menjamin kualiti penghasilan kuih koci,” katanya.

Jika dahulu persiapan hanya bermula selepas Subuh, kini mereka perlu berada di premis seawal 3.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum memulakan operasi perniagaan dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

PEKERJA sibuk menyiapkan kuih koci di Habsah Koci Leleh di sini baru-baru ini berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan. Foto BERNAMA

Fenomena tular itu bukan sahaja melonjakkan jumlah pelanggan yang hadir ke kedainya kepada kira-kira 150 orang sehari, malah turut menarik kehadiran pembeli dari Singapura yang sanggup merentas sempadan semata-mata untuk mendapatkan kuih koci sejuk beku.

Bagi pelanggan dari Singapura, Sarah Hamdan, 30, tekstur kuih koci yang kenyal, inti padat dan lelehan santan yang dijual pada harga berpatutan menjadikan Habsah Koci Leleh sebagai destinasi wajib singgah bagi beliau sekeluarga apabila datang ke Johor.

Senada dengan beliau, Mohd Rizal Ramli, 35, pula berkata kepelbagaian perisa kuih koci yang ditawarkan mampu memenuhi cita rasa seluruh ahli keluarganya.

Antara produk yang ditawarkan termasuk pilihan pek kecil (10 biji) pada harga RM11 dan pek besar (50 biji) RM55 untuk variasi pulut hitam, labu serta keledek, manakala perisa durian masing-masing berharga RM12 dan RM60 di samping pilihan pek campur. –  Bernama

Berjaya jangan bergaya

SETIAP manusia menginginkan kejayaan. Ada yang mengejarnya melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan, kepimpinan, kekayaan atau kedudukan dalam masyarakat. Kejayaan sering dilihat

Sifat takabur racun hati yang membinasakan

SIFAT takabur atau sombong merupakan antara penyakit hati yang paling berbahaya dalam Islam. Sifat ini bukan sahaja mencemarkan keperibadian seseorang,