TOKYO, Jepun: Sebanyak 265 pasangan telah berkahwin selepas berkenalan menerusi aplikasi mencari jodoh berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dilancarkan kerajaan Tokyo pada 2024 bagi membantu meningkatkan kadar kelahiran Jepun yang semakin rendah, menurut data rasmi.
Aplikasi TOKYO Enmusubi dilancarkan pada September 2024 selepas satu tinjauan mendapati kira-kira 70 peratus individu yang berminat untuk berkahwin tidak mengambil langkah aktif mencari pasangan.
Bagi mengatasi keengganan itu serta memastikan hanya mereka yang benar-benar berniat untuk berkahwin menyertai platform berkenaan, setiap pemohon diwajibkan membuktikan mereka masih bujang di sisi undang-undang selain menjalani temu duga dalam talian dan memenuhi beberapa syarat lain.
Sehingga 30 Jun tahun ini, aplikasi itu mempunyai 16,000 ahli berdaftar daripada kira-kira 36,000 permohonan yang diterima, dengan 760 pasangan berada dalam hubungan yang serius, menurut data kerajaan yang dikeluarkan bulan ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 265 pasangan telah mendirikan rumah tangga.
Kerajaan turut memetik kisah seorang wanita menggunakan nama samaran ‘Turtle’, yang berkata beliau mencuba aplikasi itu sebagai “peluang terakhir” menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-40.
“Selepas beberapa sesi temu janji, saya bertemu suami saya sekarang pada penghujung Ogos dan kami memulakan hubungan serius pada pertengahan September,” katanya.
“Saya menerima lamaran beliau pada penghujung Disember.”
Pada Jun lalu, data kerajaan menunjukkan jumlah bayi yang dilahirkan oleh warganegara Jepun pada 2025 mencatat rekod terendah baharu iaitu 671,236 orang, sekali gus menandakan penurunan tahunan untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Dalam tempoh sama, jumlah kematian melebihi dua kali ganda iaitu sekitar 1.6 juta orang, manakala kadar kesuburan menurun sebanyak 0.01 mata peratusan kepada 1.14, walaupun jumlah perkahwinan mencatat sedikit peningkatan, menurut data Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun. – AFP




