1,481 anggota tentera, pasangan undi awal di PUSASDA, 979 anggota polis di IPK Negeri Sembilan

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun (kanan) hadir meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Pengundian Awal Dewan Serbaguna Kem Segenting, hari ini. Foto BERNAMA

PORT DICKSON: Sebanyak 1,481 anggota tentera serta pasangan akan mengundi awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di sini, hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian berkenaan yang membabitkan 11 saluran itu berlangsung dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Kesemua anggota keselamatan negara itu akan mengundi wakil rakyat baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

DUN Bagan Pinang menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Abdul Fatah Zakaria daripada Perikatan Nasional (PN), Sheikh Junaidy Jamaludin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Nasir Raman daripada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota dan pegawai tentera serta pasangan telah mula menunggu seawal 7.00 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal.

Suasana pengundian awal berlangsung dalam suasana cuaca redup.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman turut dijangka meninjau proses pengundian awal di PUSASDA pada 11.00 pagi.

Sementara itu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, sebanyak 979 anggota dan pegawai polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi DUN Temiang.

SELESAI MENGUNDI… Khairunisa Md Yunus, 22, Shamimie Afiza Mohd Razali, 20, Noor Shazriennah Lajim, 20, dan Siti Zulaikha Abdullah, 23, menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas selesai mengundi pada proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, pagi ini. Foto BERNAMA

ASP Harminder Singh Pritam Singh menjadi pengundi awal pertama di Saluran 1 yang menunaikan tanggungjawab di IPK Negeri Sembilan di Seremban, pagi ini.

Turut selesai mengundi ialah Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang sebelum ini ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan bekas Ketua Polis Negeri Sembilan. 

DUN Temiang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ho Weng Wah (PH), Leaw Kok Chan daripada Barisan Nasional (BN) dan Fazly Hamid (Bersatu).

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad turun meninjau proses undi awal di IPK Negeri Sembilan sebelum mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, 11.00 pagi ini.

WARGA Tentera Darat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16. di Pusat Pengundian Awal Dewan Serbaguna Kem Segenting, hari ini. Foto BERNAMA

Proses pengundian awal yang berlangsung di 38 pusat pengundian di seluruh negeri akan ditutup secara berperingkat mengikut lokasi dengan 18 pusat pengundian awal akan ditutup pada 12.00 tengah hari, dua pusat mengundi pada 2.00 petang, manakala baki 18 lagi ditutup pada 5.00 petang.

Sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan layak mengundi pada PRN kali ini.

Hari pengundian biasa bagi PRN berkenaan ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. – Bernama