KUALA LUMPUR: Demi menghidupkan watak Bayan dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM), penyanyi MimiFly sanggup ke Indonesia bagi menyelami budaya Jawa termasuk memperhalusi dialek serta gerak-geri masyarakat di negara jiran itu.
MimiFly, atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 40, berkata beliau mengambil langkah itu kerana amat penting baginya untuk memahami karakter yang bakal dibawakan, selain membantu dirinya menyesuaikan pembawaan watak dengan latar budaya yang melingkarinya.
“Mimi banyak memerhati, kena banyak tengok filem, kena banyak dengar bahasa Indonesia, bahasa Jawa.
“Semasa di sana, saya kaji dan tengok orang di sana agar saya dapat betul-betul memahami asal-usul watak agar saya dapat buat apa yang watak itu buat,” katanya selepas sidang media Atilia Haron in Concert, di sini.

–fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyanyi lagu Serumpun itu percaya kekuatan seseorang pelakon terletak pada pemahaman mendalam akan prinsip yang dipegang oleh karakter sebelum mampu mempersembahkan watak tersebut dengan meyakinkan kepada penonton.
Dalam naskhah ikonik PGLTM, Bayan merupakan pembantu peribadi serta orang kepercayaan kepada Gusti Puteri Retno Dumilah yang sentiasa setia di sisi puteri berkenaan.
Bakal memulakan latihan pada Ogos depan, MimiFly mengakui berdebar untuk menjayakan PGLTM, yang juga merupakan pengalaman pertamanya terlibat dalam pementasan teater berskala besar.
Katanya tekanan kian dirasai apabila perlu menggalas tanggungjawab membawa watak yang sudah cukup dekat di hati peminat, namun beliau dan Nadia Aqilah yang berkongsi watak (double cast) tersebut nekad memberikan persembahan terbaik.
“Tapi Mimi pilih untuk tidak melayan perasaan ini dan nak bagi komitmen penuh terhadap proses latihan. Memang ada tekanan sebab ramai sayang karakter ini, tetapi saya dengan Nadia Aqilah (membawakan watak sama) betul-betul nak buat yang terbaik,” katanya.
Selain penguasaan dialog dan nyanyian, MimiFly turut menitikberatkan soal kecergasan fizikal bagi memastikan staminanya kekal konsisten sepanjang tempoh pementasan yang berlangsung selama beberapa minggu itu.
“Cabaran saya adalah supaya tak ‘cringe’. Saya nak pastikan watak itu betul-betul berasa hidup dan bukan ada ‘MimiFly’ di situ,” katanya.
Selain MimiFly dan Nadia Aqilah yang membawakan watak Bayan, PGLTM turut menampilkan Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Puteri Gunung Ledang; Aqasha sebagai Hang Tuah, Yusof Hashim selaku Gusti Adipati dan Lokman Hafiz sebagai Sultan Mahmud Shah.
Pementasan PGLTM akan membuka tirainya pada 31 Okt depan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre dan dijadualkan berlangsung selama tiga minggu. – Bernama





