
MINGGU lalu, Sarawak telah meraikan satu peristiwa yang penuh bersejarah, iaitu Hari Sarawak. Sambutan Hari Sarawak menjadi lebih bermakna dengan pengisytiharan cuti umum yang diadakan pada setiap tahun di negeri ini.
Cuti umum sempena Hari Sarawak ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Pehin Sri Adenan Satem, pada 2016.
Pada sambutan Hari Sarawak kali ini, Sibu telah dipilih sebagai tapak perayaannya. Perayaan ini diadakan selama tiga hari bermula 20 Julai 2026 sehingga kemuncaknya pada 22 Julai 2026.
Pengisian dalam program Hari Sarawak ini termasuklah Pameran Hari Sarawak, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, Unity Walk, sesi Townhall, program Zumba dan Konsert Rakyat.
Menuntut hak
Hari Sarawak yang diraikan setiap tahun ini melambangkan satu manifestasi sejarah lampau Sarawak yang berkesinambungan sehingga ke hari ini.
Ini kerana asal-usul terbitnya tarikh ini adalah kerana usaha anak Sarawak sendiri yang menuntut haknya daripada penjajahan kuasa asing.
Penentangan terhadap kuasa asing ini bermula dengan penentangan kepada pemerintahan Brooke oleh beberapa tokoh penting Sarawak seperti Rentap, Sharif Masahor dan Asun.
Walaupun pihak penjajah mampu menundukkan penentangan ini, jiwa merdeka masih tersemat dalam kalangan anak Sarawak, dan mereka berjuang dalam bentuk yang lain.

Dalam hal ini beberapa pemimpin masyarakat Sarawak telah mengangkat anak bangsa Sarawak dalam landasan pemodenan ketika itu. Datu Bandar Abang Mohammad Kassim misalnya bersetuju untuk mendirikan sekolah vernakular Melayu di kampungnya.
Suara-suara anak muda dalam akhbar Fajar Sarawak menyeru kepada usaha meningkatkan taraf hidup penduduk Bumiputera. Serangan Jepun dan pendudukan Jepun ke atas Sarawak tidak mematikan semangat juang meningkatkan taraf anak bangsa.
Pada era ini anak Sarawak mendapat peluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran Jepun. Mereka ini belajar mentadbir Sarawak bersama-sama dalam pentadbiran Jepun.
Namun ada juga yang mengambil langkah berbeza dengan mengangkat senjata melawan pentadbiran Jepun. Kekalahan Jepun tidak mengubah nasib penduduk Sarawak kerana Sarawak menjadi tanah jajahan British.
MA63
Oleh itu berlaku protes dan penentangan secara aman terhadap pentadbiran British yang dikenali sebagai gerakan anti-penyerahan. Kemuncak kepada gerakan ini membawa kepada peristiwa berdarah di Sibu.
Tamatnya gerakan ini tidak bermaksud rakyat Sarawak tidak bercita-cita untuk meneruskan usaha memperjuangkan nasib bangsanya. Ini kerana pemimpin Sarawak seperti Temenggung Jugah, Abang Mustapha, William Tan dan pemimpin-pemimpin Sarawak yang lain berjuang untuk membaiki kehidupan penduduk Sarawak.
Perjuangan mereka berterusan apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan rancangan Malaysia. Rancangan Malaysia yang diumumkan ini bukannya sesuatu yang terus diterima bulat-bulat oleh penduduk Sarawak tetapi dituntut untuk memberi peluang dan jaminan yang lebih baik kepada masa depan Sarawak.

Hal ini melahirkan Perjanjian Malaysia yang biasa kita kenal hari ini sebagai MA63. Perjanjian inilah menjadi tulang belakang penting dalam jaminan Sarawak untuk menyertai penubuhan Malaysia.
Kekeliruan
Apabila MA63 ini diterima oleh Sarawak, maka proses selanjutnya memberi hak pemerintahan sendiri kepada anak Sarawak. Pilihan raya telah diadakah seawal 1963, dan keputusannya memberi kemenangan agak selesa kepada Perikatan Sarawak yang juga mendapat sokongan daripada calon Bebas yang menang dalam pilihan raya tersebut.
Sebagai parti pro-Malaysia, Perikatan Sarawak telah diberi peluang oleh Gabenor British, Alexander Waddall untuk memimpin Sarawak. Maka pada 22 Julai 1963, Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak dengan dibantu oleh ahli kabinet pertama Sarawak dan pegawai dagang British.
Disini munculnya kekeliruan di Sarawak apabila tarikh itu diuar-uarkan buat pertama kalinya pada sekitar 2014. Dalam hal ini timbulnya pentafsiran bahawa tarikh tersebut sebagai tarikh merdeka bagi Sarawak.
Menerusi kajian ke atas fail-fail British, warta kerajaan dan surat khabar menunjukkan bahawa tidak pernah dicatatkan tarikh tersebut sebagai hari kemerdekaan.
Tarikh tersebut hanya meletakkan Sarawak selangkah untuk kemerdekaan dengan memberi peluang kepada pemimpin Sarawak untuk memerintah Sarawak. Dengan kata lain, ia adalah taraf pemerintahan sendiri. Hal ini biasa dilakukan oleh penjajah British ke atas koloninya.
Pemerintahan sendiri
Apa yang dimaksudkan dengan pemerintahan sendiri jika bukan bermaksud kemerdekaan? Pemerintahan sendiri ialah suatu bentuk pemerintahan yang memberi kuasa kepada sesebuah wilayah atau tanah jajahan untuk mentadbir hal ehwal dalam negerinya sendiri melalui kerajaan tempatan yang dipilih, walaupun wilayah tersebut masih belum mencapai kemerdekaan sepenuhnya.
Dalam keadaan ini, kuasa tertentu seperti pertahanan, hubungan luar dan sebahagian aspek keselamatan biasanya masih dikawal oleh kuasa penjajah.
Dalam konteks Sarawak, Gabenor British, Alexander Waddell masih mempunyai beberapa kuasa di Sarawak ketika itu. Pertama ia berperanan sebagai wakil British dan mengawasi proses peralihan kuasa. Selain itu beliau juga mempunyai beberapa kuasa yang termaktub dalam perlembagaan Sarawak.
Jelas disini bahawa tiada apa yang dipanggil kemerdekaan pada tarikh tersebut. Namun demikian pada hari ini pemahaman sebahagian besar rakyat Sarawak tentang tarikh itu telah berubah dan tidak lagi terikat pada tanggapan tarikh itu sebagai tarikh merdeka.
Walaupun bukan bermakna merdeka tetapi rakyat Sarawak tetap melihat tarikh itu penting kerana ia adalah tarikh dimana anak Sarawak memerintah negerinya sendiri walaupun tidak sepenuhnya.
Oleh itu wajar kita sebagai anak Sarawak melihat tarikh itu sebagai sesuatu yang bermakna dalam kehidupan kita kerana ia memulakan proses pembangunan dan kemajuan yang ada pada hari ini.
Dalam kita meraikan Hari Sarawak, ada pihak yang gagal memahami tarikh itu dalam sudut sejarah Sarawak. Ini kerana terdapat juga pihak masih meraikan Hari Sarawak dengan mengibarkan bendera kolonial. Hal ini tidak wajar dibuat kerana ia seolah-olah kita berpatah balik ke belakang, bukan ke hadapan apabila meraikan tarikh tersebut.
Dalam hal ini, usaha memperkukuh literasi sejarah dalam kalangan rakyat Sarawak terutamanya dalam kalangan generasi muda perlu diberi keutamaan bagi memastikan mereka memahami sejarah Sarawak secara menyeluruh, termasuk hak-hak negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Saranan ini cukup baik dan harus diambil kira kerana pelajaran sejarah akan memberi kita satu pemahaman jelas tentang latar belakang masa silam Sarawak.
Ini kerana ia juga memboleh kita lebih peka dan sedar tentang apa yang kita telah lalui termasuk pemahaman kita tentang Hari Sarawak. Tanpa pemahaman sejarah yang kukuh, fakta dan peristiwa sejarah mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka.
Sekali lagi saya berpendapat bahawa Sarawak memerlukan Jabatan Sejarah ditubuhkan untuk menangani sebarang kekeliruan dan manipulasi pihak-pihak tertentu serta memacu Sarawak ke hadapan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan di Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





