MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun kerugian RM367,300 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes itu semalam.
Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan selepas melihatnya di media sosial sebelum menekan pautan yang disediakan dan berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan.
“Mangsa dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat sebelum membuat 48 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza antara 9 Jun hingga 20 Julai, membabitkan jumlah keseluruhan RM367,300,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek memberikan pelbagai alasan apabila mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Oleh Liong Chai Ling





