LIMBANG: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memantau 21 projek pembangunan di Limbang bagi memastikan pematuhan terhadap Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta penguatkuasaan undang-undang dalam usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar.
Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Datu Jack Liam berkata, walaupun berdepan kawasan liputan yang luas serta kekangan dari segi bilangan kakitangan, pejabat NREB Bahagian Limbang terus melaksanakan tugas pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan secara berkesan dengan bantuan penggunaan teknologi serta automasi.
“Di Daerah Limbang, pembangunan dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang dipantau oleh pejabat NREB Bahagian Limbang, melibatkan 10 projek infrastruktur, dua projek hartanah, dua projek perhutanan, dua projek pertanian serta lima projek kuari dan perlombongan.
“NREB terus komited menjalankan pemantauan rapi terhadap projek-projek berkenaan bagi memastikan semua syarat kelulusan EIA dipatuhi sepenuhnya.
“Usaha ini bukan sekadar rutin pentadbiran, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan NREB dalam melaksanakan penguatkuasaan secara aktif dan tegas bagi memastikan alam sekitar Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund Limbang, hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Dato Paulus Gumbang, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Abang Arabi Abang Aimran serta Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Katanya, kerajaan Sarawak melalui pelbagai agensi komited melaksanakan projek pembangunan di seluruh negeri termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, perumahan, kemudahan awam serta pembangunan sektor pertanian bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai Negeri Maju menjelang 2030.
Menurutnya, seiring dengan kepesatan pembangunan tersebut, aspek perlindungan alam sekitar perlu sentiasa diberi perhatian supaya setiap projek dilaksanakan berlandaskan prinsip pembangunan mampan yang mengimbangi kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, NREB komited untuk melindungi dan mengurus alam sekitar serta memulihara sumber asli Sarawak berdasarkan prinsip pembangunan mampan.
Jelas beliau, perkara itu selaras dengan peranan NREB dalam memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan kualiti alam sekitar untuk generasi masa kini dan akan datang.
NREB ditubuhkan pada 1 Februari 1994 dan dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan dua ordinan utama, iaitu Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 1993 (Edisi 1958) serta Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023.
Setakat ini, NREB mempunyai lapan pejabat cawangan iaitu di Kuching, Betong, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Oleh Adeng Edrus




