KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan asing yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan disyaki melakukan beberapa pelanggaran undang-undang maritim di perairan utara Sarawak, Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, vesel itu ditahan sekitar 11.30 pagi pada kedudukan 121 batu nautika utara Tanjung Po ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh dua warga Indonesia, termasuk seorang nakhoda.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu tidak mempunyai nombor pendaftaran serta disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, vesel bersama kedua-dua kru terbabit ditahan sebelum diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairi berkata, Maritim Sarawak akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti perikanan haram, pencerobohan vesel asing serta pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan keselamatan perairan, kedaulatan negara dan kelestarian sumber marin sentiasa terpelihara.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.





