SARATOK: Pertandingan Petanque Bertiga Cabutan ABC Tertutup Saratok 2026 berjaya menghimpunkan seramai 66 peserta daripada 33 pasukan dalam suasana penuh semangat kesukanan di Arena Petanque Saratok sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran pertandingan seumpama itu bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan petanque, malah berperanan mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui aktiviti sukan yang sihat dan inklusif.
Beliau berkata, usaha memperkasakan sukan di peringkat akar umbi akan terus diberi perhatian kerana ia mampu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di samping membina hubungan erat antara komuniti daripada pelbagai kawasan.
Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan pemain dari sekitar Saratok serta daerah jemputan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti sukan di wilayah itu.
Daripada keseluruhan peserta, seramai 52 orang merupakan pemain dari Saratok, diikuti lapan peserta dari Kabong dan enam peserta dari Sarikei, membuktikan sukan petanque terus mendapat sambutan di kawasan sekitar.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang hadir mewakili ADUN Kalaka.
Dalam ucapannya, Kaunselor Majid merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, para peserta serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam memastikan pertandingan berlangsung dengan lancar dan berjaya.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sukan seperti petanque bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah mampu memupuk nilai perpaduan, semangat kesukanan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Persaingan sengit namun berlangsung dalam suasana harmoni menyaksikan gandingan Daus, Naza dan Awin muncul sebagai johan, diikuti Syamsiah, Izatul dan Teh sebagai naib johan, manakala Pak John, Fat dan Azman di tempat ketiga serta Asri, Artila dan Dayan Ani di tempat keempat.
Penganjuran Pertandingan Petanque Bertiga Cabutan ABC Tertutup Saratok 2026 dilihat berjaya menyemarakkan sambutan Hari Sarawak selain memperkukuhkan semangat perpaduan, persahabatan dan budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha membina komuniti yang sihat, bersatu padu dan berdaya saing.
Oleh Adi Safarman




