Anak Sarawak ungguli kedudukan keseluruhan Piala GR86 Malaysia

Facebook
WhatsApp
AYRTON Mohd Azeem Low bersedia memulakan perlumbaan bersama pasukan Aylezo Motorsports pada pusingan pembukaan Piala GR86 Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. Foto Aylezo Motorsports

SEPANG: Pelumba muda Sarawak, Ayrton Mohd Azeem Low memulakan kempen Piala GR86 Malaysia Musim Kedua dengan cemerlang apabila meraih dua kemenangan dalam Kelas Clubman, termasuk muncul juara keseluruhan Perlumbaan 2 pada pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang.

Memandu jentera Toyota GR86 bernombor lapan bersama pasukan Aylezo Motorsports, pelumba berusia 26 tahun itu turut mendahului kedudukan keseluruhan pemandu selepas dua perlumbaan pertama musim ini.

Pusingan pembukaan itu merangkumi sesi latihan selama 45 minit, sesi kelayakan selama 30 minit serta dua perlumbaan pecut yang berlangsung selama 11 pusingan. Sebanyak 19 kereta mengambil bahagian, terdiri daripada lima penyertaan dalam Kelas Terbuka dan 14 penyertaan dalam Kelas Clubman.

AYRTON Mohd Azeem Low menunjukkan trofi kemenangan selepas meraih dua kemenangan Kelas Clubman, di Litar Antarabangsa Sepang. Foto Mohammad Anas

Ayrton memulakan saingan dengan menduduki tempat ketiga dalam Kelas Clubman dan tempat keenam keseluruhan pada sesi kelayakan.

Dalam Perlumbaan 1, beliau memulakan perlumbaan dari petak keenam keseluruhan sebelum memanfaatkan insiden di selekoh pertama untuk memperbaiki kedudukan.

Walaupun kehilangan beberapa posisi selepas perlumbaan disambung berikutan kemunculan kereta keselamatan, Ayrton bangkit dengan melakukan beberapa aksi memotong pada baki dua pusingan terakhir sebelum menamatkan perlumbaan sebagai juara Kelas Clubman dan menduduki tempat keempat keseluruhan.

Momentum itu diteruskan dalam Perlumbaan 2 apabila beliau memulakan perlumbaan dari petak kelima sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu seawal selekoh pertama.

AYRTON Mohd Azeem Low mengharungi saingan di Litar Antarabangsa Sepang sebelum menamatkan Perlumbaan 2 dengan catatan masa terpantas dan mendahului kedudukan keseluruhan pemandu Piala GR86 Malaysia.  Foto Aylezo Motorsports

Ayrton mengekalkan rentak konsisten sepanjang 11 pusingan, sekali gus mencatat masa terpantas perlumbaan sebelum menamatkan saingan kira-kira tujuh saat di hadapan pencabar terdekat untuk meraih kemenangan keseluruhan pertamanya dalam siri perlumbaan itu.

Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras seluruh pasukan dalam menyediakan jentera yang kompetitif sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Saya amat gembira dengan keputusan ini. Perlumbaan pertama agak mencabar kerana kami terpaksa mengejar semula kedudukan, namun kami kekal tenang dan berjaya bangkit.

“Memulakan musim dengan kemenangan keseluruhan serta catatan masa terpantas memberikan keyakinan kepada saya. Sebagai anak Sarawak, pencapaian ini amat bermakna dan saya berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi sukan permotoran,” katanya.