Institusi wakaf perlu berubah seiring perkembangan dunia – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bergambar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta tetamu kehormat selepas majlis perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto UKAS

KUALA LUMPUR: Institusi wakaf perlu diberi nafas baharu agar kekal relevan dalam mendepani perubahan dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan iklim dan cabaran sosioekonomi tanpa mengabaikan prinsip serta nilai Islam yang menjadi asas penubuhannya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, transformasi itu perlu dilaksanakan menerusi pendekatan baharu dalam aspek pengurusan, pembangunan dan penggunaan wakaf supaya dapat memenuhi keperluan masyarakat yang semakin dinamik.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto UKAS

“Jawapannya bukanlah dengan mengubah falsafah wakaf, tetapi dengan menilai semula cara ia diurus, dibangunkan dan dimanfaatkan supaya dapat memenuhi keperluan semasa, sambil kekal berteraskan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Abang Johari yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata, wakaf tidak lagi seharusnya dilihat semata-mata sebagai institusi kebajikan, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik yang mampu memacu pembangunan sosioekonomi secara mampan.

“Hari ini, wakaf tidak lagi wajar dilihat hanya sebagai sebuah institusi kebajikan. Sebaliknya, ia perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik bagi memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan konsep Wakaf Ilmu sebagai pendekatan baharu yang mampu memperkukuh pembangunan modal insan dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan.

Menurutnya, selain tanah dan aset fizikal, ilmu pengetahuan kini merupakan antara bentuk kekayaan paling bernilai yang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat.

“Atas sebab itu, konsep Wakaf Ilmu perlu diberi perhatian kerana mempunyai peranan yang amat besar dalam pembangunan masa depan,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia bersedia memainkan peranan lebih besar dalam memacu inovasi wakaf di peringkat global menerusi perkongsian pengalaman, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi dan tadbir urus moden bagi memaksimumkan potensi wakaf sebagai pemangkin pembangunan mampan.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan menghimpunkan ilmuwan, pakar wakaf, ahli akademik serta delegasi dari pelbagai negara bagi membincangkan masa depan institusi wakaf di peringkat antarabangsa.