LUNDU: Seorang individu berputih mata selepas mengalami kerugian berjumlah RM17,675 akibat terperangkap dalam sindiket penipuan pembelian barangan tidak wujud secara dalam talian, baru-baru ini.
Menurut maklumat yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, berdasarkan laporan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Lundu, kejadian berpunca apabila mangsa tertarik dengan iklan penjualan set periuk jenama Dessini yang dipaparkan di Facebook Marketplace pada 10 Julai lalu.
Mangsa kemudiannya bertindak menekan pautan iklan berkenaan sebelum dihubungi oleh suspek menerusi aplikasi WhatsApp di nombor +1 (272) 364-6465.
Suspek yang menghantar gambar serta senarai harga menawarkan set periuk berkenaan pada harga RM100 termasuk kos penghantaran, dan mangsa bersetuju untuk membuat pembelian.

Mangsa seterusnya diarahkan membuat bayaran melalui pautan QR Code Touch ‘n Go eWallet atas nama ‘Kedai Priuk Dessini’.
Bagaimanapun, selepas bayaran pertama dibuat, mangsa dihubungi oleh seorang individu menerusi nombor 011-64478336 yang menyamar sebagai pegawai kastam dan memaklumkan kononnya periuk berkenaan ditahan oleh pihak kastam.
Mengulas lanjut modus operandi kes itu, mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa siri bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pelepasan barangan serta mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak kastam.
Mangsa yang tidak menyedari dirinya ditipu membuat beberapa transaksi sebelum suspek sekali lagi meminta bayaran tambahan RM1,000 pada 25 Julai lalu.
Tindakan itu menyebabkan mangsa mula berasa curiga dan enggan membuat sebarang bayaran lagi sebelum tampil menyalurkan maklumat serta membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menurut BSJKD Lundu, barangan yang ditawarkan iaitu periuk jenama Dessini sebenarnya tidak wujud dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran barangan yang terlalu murah di media sosial, tidak menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali serta mengelakkan membuat bayaran pendahuluan tanpa pengesahan kesahihan penjual.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan transaksi dalam talian juga digalakkan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan selanjutnya.
Oleh Afiq Sallehi





