KUCHING: Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan produktiviti, kreativiti dan daya saing selaras dengan perkembangan pesat ekonomi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, AI kini mengubah cara manusia bekerja, belajar dan berkomunikasi, sekali gus menuntut masyarakat, khususnya golongan belia, untuk bersedia menguasai teknologi tersebut.
Menurut beliau, AI tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai alat yang mampu meningkatkan kecekapan serta membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor.

“Teknologi AI boleh membantu masyarakat meningkatkan produktiviti dan kreativiti. Justeru, pendedahan serta penguasaan terhadap teknologi ini penting agar mereka kekal berdaya saing dalam dunia yang semakin dipacu teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Latihan Digital Kecerdasan Buatan (AI) bertemakan Mencipta Nilai Menggunakan Telefon Pintar Anda anjuran Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang, Ranting Batu 10 di Bilik Mesyuarat SUPP Cawangan Kecil Batu 10, di sini, hari ini.
Lo turut menggalakkan lebih banyak program latihan digital berasaskan komuniti dianjurkan bagi memperluas pendedahan masyarakat terhadap teknologi baharu, di samping membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
Program separuh hari yang disertai sekitar 40 peserta itu memberi pendedahan mengenai asas AI serta penggunaan pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, pekerjaan, penciptaan kandungan digital dan perniagaan.





