Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden serangan di Berlin – Kedutaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam insiden serangan ketika sambutan Hari Christopher Street (Christopher Street Day) di Berlin, Jerman pada malam tadi.

Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Berlin hari ini.

Kedutaan turut menyampaikan rasa simpati kepada mereka yang terjejas akibat tragedi yang menyebabkan seorang maut dan sekurang-kurangnya 16 yang lain cedera.

ANGGOTA polis menjalankan operasi di lokasi kejadian selepas perarakan tahunan Pride di Berlin dibatalkan susulan sebuah kereta merempuh orang ramai di Taman Tiergarten, menyebabkan beberapa individu cedera, di Berlin, Jerman. – Foto agensi.

“Ingatan dan doa kami bersama mangsa, keluarga mereka serta semua yang terjejas akibat tragedi ini,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kedutaan.

Kedutaan memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan susulan insiden itu sambil menambah bahawa mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut boleh menghubungi kedutaan menerusi talian +49 (0)30 885749-0 atau e-mel di mwberlin@kln.gov.my.

Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), sebuah kenderaan merempuh orang ramai di kawasan Tiergarten, Berlin sejurus selepas 10 malam (waktu tempatan) pada Sabtu (25 Julai), menyebabkan penganjur membatalkan acara Hari Christopher Street.

Seorang wanita maut manakala 16 yang lain cedera, termasuk tiga yang mengalami kecederaan mengancam nyawa dan lapan cedera parah, sementara polis melancarkan operasi mengesan suspek. – Bernama