NEW DELHI: Sekurang-kurangnya dua orang maut manakala beberapa yang lain cedera apabila satu letupan besar berlaku di sebuah unit pembuatan bunga api di sebuah kilang di negeri Tamil Nadu, selatan India hari ini, kata seorang pegawai tempatan, lapor Xinhua.
Letupan itu dilaporkan berlaku di kawasan Virudhnagar, di mana kilang bunga api berkenaan dipercayai beroperasi secara haram, kata pegawai itu.
Semua mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke hospital tempatan untuk rawatan, dan kesemua mereka merupakan pekerja kilang terbabit.

Menurut laporan terkini, operasi menyelamat dan memberi bantuan sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang masih terperangkap di dalam unit berkenaan.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan lesen atau kebenaran rasmi yang dimiliki oleh pemilik kilang itu. – Bernama



