Abang Johari: Jangan leka, PBB mesti sentiasa bersedia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan seluruh jentera parti supaya terus bersatu dan tidak berpecah kerana kekuatan PBB sebagai tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kunci kepada kesinambungan pembangunan Sarawak.

Beliau berkata, PBB perlu sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak boleh mengambil mudah segala persiapan menghadapi “peperiksaan” tersebut.

Menurutnya, seluruh jentera parti perlu membuat persediaan rapi, sama seperti calon yang membuat persediaan menghadapi peperiksaan, bagi memastikan PBB terus memperoleh mandat rakyat.

“Kita tidak tahu bila peperiksaan itu akan diadakan, tetapi kita mesti sentiasa bersedia. Jangan ambil mudah. Kita mesti membuat ulang kaji dan memastikan kita memperoleh keputusan yang cemerlang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

Abang Johari berkata, PBB juga perlu terus berpegang teguh kepada prinsip keadilan dengan memberikan layanan yang sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Kalau orang Melayu menjadi pemimpin, dia mesti berlaku adil kepada semua. Begitu juga jika orang Iban menjadi pemimpin, dia juga mesti berlaku adil kepada semua. Itulah prinsip yang kita pegang,” katanya.

Beliau berkata, niat yang baik, kepercayaan rakyat serta semangat berpasukan perlu terus diperkukuh bagi memastikan parti kekal utuh dalam menghadapi cabaran politik.

Selain itu, Abang Johari mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai kerana sikap leka boleh menjejaskan persiapan menghadapi pilihan raya.

Katanya, sebagai tulang belakang GPS, PBB perlu terus memperkukuh perpaduan, disiplin dan gerak kerja bagi memastikan parti memperoleh kemenangan cemerlang pada PRN akan datang.

ABANG Johari bersama barisan kepimpinan PBB pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh ahli parti supaya terus mengutamakan agenda pembangunan Sarawak agar negeri ini terus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua (Timbalan Presiden) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan (Naib Presiden Kanan) Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Naib Yang Dipertua (Naib Presiden) Datuk Dr Annuar Rapaee, Datu Len Talif Salleh dan Dato Sri Fatimah Abdullah, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri William Mawan Ikom, Datuk Abdullah Saidol dan Dato Ir Yusuf Abdul Wahab.

Oleh Akun Giman dan Tarani Lanting