SIBU: Dakwaan kononnya masyarakat Dayak dipinggirkan dalam pentadbiran Sarawak disifatkan sebagai naratif politik yang sengaja dimainkan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat dan melemahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan, masyarakat Dayak terus diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat negeri dan Persekutuan berdasarkan kelayakan.
Menurutnya, ramai anak Dayak kini menerajui syarikat berkaitan kerajaan, jabatan kerajaan, pasukan keselamatan, badan berkanun serta kementerian di peringkat Persekutuan.
“Bagaimana mungkin ada pihak mengatakan masyarakat Dayak tidak diberi tempat sedangkan begitu ramai anak Dayak memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri dan negara.
“Realitinya, PBB dan GPS sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi ruang berkhidmat tanpa mengira kaum,” tegasnya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di sini, hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit mengakui masih terdapat ruang untuk menambah baik aspek keterangkuman dalam pentadbiran supaya isu berkenaan tidak lagi dimanipulasi oleh pihak tertentu.
“Memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum bukan satu kesalahan, namun ia tidak boleh dilakukan dengan meniupkan sentimen kebencian terhadap kaum lain,” ujarnya.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Nanta mengingatkan seluruh jentera parti supaya mengutamakan disiplin, kesetiaan dan perpaduan kerana kemenangan tidak dicapai melalui slogan semata-mata, sebaliknya melalui kerja berpasukan serta kepercayaan rakyat.
“Pemimpin dan ahli GPS harus sentiasa berpegang kepada pendirian gabungan itu yang kekal berkecuali terhadap perkembangan politik di Semenanjung, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sarawak.
“Kita mempunyai agenda pembangunan Sarawak yang perlu diteruskan. Apa yang penting ialah memastikan kerajaan Persekutuan kekal stabil supaya agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengesa seluruh ahli PBB kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat baharu bagi memperkukuh parti, memastikan PBB terus menjadi tunjang GPS serta memperoleh mandat lebih besar pada pilihan raya akan datang.
Oleh Tarani Lanting




