SIBU: Rakyat Sarawak kini semakin menolak politik berasaskan kaum dan agama, sebaliknya mahukan sebuah kerajaan yang mampu membawa pembangunan serta meningkatkan taraf hidup mereka.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, politik berasaskan kaum tidak lagi sesuai dalam era baharu yang dipacu perkembangan teknologi digital kerana rakyat kini lebih mengutamakan keupayaan, ilmu pengetahuan dan hasil pembangunan.
Menurutnya, kepimpinan masa kini perlu berteraskan kebolehan, integriti serta keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Majoriti rakyat mahukan pembangunan serta kehidupan yang lebih baik, bukannya politik berasaskan kaum. Dalam era digital hari ini, perkara yang paling penting ialah kebijaksanaan, ilmu dan kemampuan, bukannya faktor kaum atau agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

Abang Johari berkata, kejayaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan Sarawak membuktikan pendekatan inklusif yang diamalkan PBB memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.
Menurutnya, pelantikan anak Sarawak daripada pelbagai kaum untuk menerajui syarikat petroleum negeri, PETROS, serta pelbagai agensi kerajaan membuktikan bahawa kepimpinan negeri sentiasa mengutamakan kelayakan, keupayaan dan prinsip meritokrasi.
“Kalau orang Melayu menjadi pemimpin, dia mesti berlaku adil kepada semua. Begitu juga jika orang Iban menjadi pemimpin, dia juga mesti berlaku adil kepada semua. Itulah prinsip yang kita pegang,” tegasnya.
Beliau berkata, sepanjang enam tahun lalu, kerajaan GPS telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jambatan, jalan raya, kemudahan bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Katanya, pencapaian tersebut membuktikan PBB sebagai tunjang GPS bukan sekadar memberikan janji, tetapi melaksanakan dasar yang membawa perubahan dan kemajuan kepada Sarawak.

Abang Johari turut mengingatkan ahli parti supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah atau cubaan yang boleh memecahbelahkan perpaduan dalam PBB kerana kestabilan politik merupakan asas penting bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan.
Beliau menyeru PBB supaya terus melahirkan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan perjuangan mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan negeri ini kekal berada pada landasan pembangunan menjelang 2030.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua (Timbalan Presiden) PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan (Naib Presiden Kanan) Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Naib Yang Dipertua (Naib Presiden) Datuk Dr Annuar Rapaee, Datu Len Talif Salleh dan Dato Sri Fatimah Abdullah, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri William Mawan Ikom, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Ir Yusuf Abdul Wahab.
Oleh Akun Giman dan Tarani Lanting





