SARIKEI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berjaya menghapuskan sarang lebah yang ditemui berhampiran sebuah rumah di Jalan Baji.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira 9.07 malam, baru-baru ini.
“Respons dengan panggilan kecemasan, tiga anggota bomba digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan sarang lebah berukuran 1.0 meter diameter berada di atas pokok mempelam berhampiran rumahnya,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, komander operasi terlebih dahulu menjalankan penilaian awal bagi memastikan kaedah yang sesuai dan selamat digunakan untuk memusnahkan sarang lebah.
“Komander operasi membuat penilaian awal dan mengarahkan anggota bomba memusnahkan sarang lebah tersebut menggunakan satu unit peralatan khas pencolok api LPG sehingga musnah sepenuhnya.
“Operasi berjaya dikawal pada 9.17 malam sebelum ditamatkan seminit kemudian pada 9.18 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi ancaman lebah,” katanya.
Tambahnya, penggunaan peralatan khas membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat tanpa membahayakan anggota bomba.
Oleh Earl Anek





