BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bintangor terus memperkukuh budaya pencegahan kebakaran dalam kalangan masyarakat apabila berjaya melaksanakan 121 program kesedaran keselamatan kebakaran di seluruh kawasan jagaannya sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pelaksanaan program tersebut membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkasakan pendidikan keselamatan kebakaran sebagai langkah awal mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.

Katanya, pendekatan ini membolehkan mesej keselamatan kebakaran disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat mengikut keperluan dan persekitaran masing-masing.
“Sepanjang Januari hingga Jun 2026, BBP Bintangor telah melaksanakan sebanyak 121 program kesedaran keselamatan kebakaran di seluruh kawasan jagaan kami yang melibatkan sekolah, komuniti, agensi kerajaan, agensi swasta, rumah panjang dan kempen keselamatan sempena musim perayaan.
“Pendidikan awal mengenai keselamatan kebakaran amat penting kerana tahap kesedaran yang tinggi mampu membantu orang ramai mengambil tindakan pantas dan tepat ketika berdepan situasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, setiap program bukan sekadar memberi penerangan mengenai aspek pencegahan kebakaran, malah turut merangkumi demonstrasi penggunaan alat pemadam api, kaedah pemadaman kebakaran kecil, pameran dan prosedur menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran.
“Pendedahan secara praktikal memberi peluang kepada peserta memahami tindakan yang perlu diambil dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk bertindak dengan lebih tenang.

“Penglibatan aktif sekolah dalam program kesedaran membolehkan murid dididik mengenai amalan keselamatan sejak usia muda, manakala penyertaan komuniti, rumah panjang dan pelbagai agensi pula membantu membentuk budaya pencegahan kebakaran secara lebih menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, program yang diadakan di rumah panjang turut memberi penekanan kepada aspek penggunaan elektrik dan gas memasak secara selamat memandangkan faktor kecuaian sering menjadi antara punca kejadian kebakaran.
“Kempen keselamatan sempena musim perayaan juga menjadi antara fokus utama BBP Bintangor kerana ketika itu aktiviti masyarakat meningkat dan risiko kebakaran turut bertambah jika langkah keselamatan diabaikan,” katanya lagi.
Katanya, kejayaan pelaksanaan 121 program dalam tempoh enam bulan mencerminkan kerjasama baik yang terjalin antara BBP Bintangor dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kebakaran di kawasan jagaan balai.

“Usaha mendidik masyarakat mengenai keselamatan kebakaran tidak boleh dilakukan secara bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ilmu dan amalan keselamatan sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan harian.
“Kami akan terus memperluaskan pelaksanaan program kesedaran keselamatan kebakaran supaya lebih ramai masyarakat mendapat pendedahan mengenai aspek pencegahan, sekali gus mengurangkan risiko kebakaran dan meningkatkan keselamatan komuniti,” katanya.
Oleh Earl Anek




